Wednesday, September 05, 2012

Melayu tiada masa dalam Umno – Lajim Ukin

MACHANG: Belum pun membuat keputusan rasmi meninggalkan Umno tiba-tiba kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat peruntukan sebanyak RM3 juta kepada anggota parlimen Beufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (gambar).

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengakui banyak keistimewaan yang diperolehi ketika berada dalam Umno.

“Namun saya tetap juga membuat keputusan meletak jawatan sebagai Ketua Umno, anggota Majlis Tertinggi (MT) dan Pengerusi BN Beufort.

“Selama 18 tahun ini saya berada dalam Umno. Dua penggal menang sebagai MT, malah ketika itu berada dalam top ten.

“Saya juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan pemangku Ketua Menteri. Namun saya meletak semua jawatan itu kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan kerja-kerja kejahatan,” katanya pada ceramah sulungnya di Kelantan malam tadi.

Program tersebut diadakan di Kampung Paloh Rawa, Dun Temangan. Biar pun hujan turun dengan lebat orang ramai tetap memenuhi perkarangan bangunan Pasti.

Hadir sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat dan anggota Exco, Dr Muhamad Fadzli Hassan.

Turut mengiringi Lajim ke Kelantan, bekas pemimpin PBS, Datuk Idris Ali. Hari ini difahamkan beliau menghadiri satu program di Kuala Lumpur.

Lajim berkata, beliau tidak boleh menerima gejala rasuah yang berleluasa dalam Umno dan kerajaan serta penderaan yang berlaku secara berterusan terhadap Kelantan.

Sedangkan kata beliau Kelantan merupakan negeri yang mempunyai jumlah penduduk Melayu yang paling ramai di Malaysia.

“Sebab itulah saya tidak nampak lagi Umno mampu membela nasib orang Melayu. Umno tidak boleh lagi menjamin masa depan orang Melayu.

“Macam mana mereka mahu menyelesaikan masalah rakyat, sedangkan masalah dalaman Umno sendiri begitu parah sekali.

“Saya pernah berada dalam jawatankuasa menyelesaikan isu dalaman Umno. Masalah di Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Johor dan Selangor tidak selesai sampai sekarang.

“Saya tidak boleh lagi bersikap sebagai yes men, tidak boleh lagi membodek dengan mencium tangan pemimpin atasan,” katanya yang mempertahankan kerusi parlimen Beufort sejak 26 tahun lalu.

Beliau juga berkata, Sabah bukan lagi menjadi deposit tetap bagi BN untuk mempertahankan kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka 13 kerusi BN akan tergugat antaranya Beufort, Penampang, Tawau, Sepangar, Papar, Batu Sapi, Tuaran dan Sandakan. Buktinya kehadiran rakyat begitu luar biasa pada program Pakatan Rakyat sekarang.

Beliau juga meluahkan rasa hairan Sabah memiliki sumber bumi yang banyak dengan minyak dan balak, namun masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin mendakwa akan berlaku satu lagi kejutan besar pada 15 September ini di Sabah apabila seorang tokoh korporat terkenal akan mengisytiharkan menyertai Pakatan Rakyat.

Katanya, tokoh terbabit akan mengisytiharkan keluar Umno pada himpunan besar-besaran yang dijangka turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng

No comments: