KUALA LUMPUR: Secara tidak rasminya, Datuk Seri Najib
Razak tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima
tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih
melalui pilihan raya lalu.
Sebaliknya, selepas BN memenangi
pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu, Najib dilantik oleh Tun Abdullah
Badawi untuk menerajui BN, sekaligus membentuk kerajaan.
"Kalau
diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah,
bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi
mandat oleh rakyat," tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada
Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan
Najib yang berhasrat untuk menunggu tempoh lima tahun sebelum memanggil
pilihan raya umum bagi membolehkan beliau meneruskan mandat yang
diberikan rakyat.
Bagaimanapun, kata Mahfuz, pihaknya bersetuju
dengan hasrat tersebut, dan meminta Najib menyatakannya secara
'akujanji' tentang tempoh lima tahun tersebut.
"Jika benar beliau
berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum selepas tamat tempoh
penggal yang diberikan, adalah lebih baik jika ia memberi jaminan secara
akujanji," tegas beliau lagi.
Tambah ahli parlimen Pokok Sena
itu lagi, dengan hasrat Najib itu juga dilihat mampu menguruskan soal
peruntukan negara membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara
lebih berkesan.
Sebelum ini, dalam bajet tambahan yang
dibentangkan di parlimen, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang kepada
badan pengendali pilihan raya itu.
"Kalau ditetapkan tarikh
pilihan raya seperti tepat pada tempoh mandatnya, banyak perkara boleh
dilakukan dengan lebih mudah, termasuk wang peruntukkan yang diberikan
kepada pihak berkaitan," tegas Mahfuz.
Dalam pada itu, Setiausaha
Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menyambut baik hasrat Najib itu,
walaupun ia sebenarnya menunjukkan sikap serba salah beliau yang
sehingga kini tidak boleh menetapkan tarikh pembubaran parlimen.
"Bagaimanapun,
apapun alasan beliau, kita terima kerana ia lebih memudahkan semua
pihak untuk persiapan menghadapi pilihan raya," kata beliau yang
dihubungi, hari ini.
Najib, dalam kenyataannya malam tadi
menegaskan kerajaan BN sekarang berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya
mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi
pilihan raya tahun 2008
No comments:
Post a Comment