Tuesday, February 21, 2012

Perintah injunksi mahkamah diserah kepada KPF

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Lapan pemegang saham (plaintif) Koperasi Permodalan Felda (KPF) hari ini secara rasmi menyerahkan perintah mahkamah yang telah membenarkan permohonan injuksi interim kepada pengurusan KPF.

Penyerahan itu dibuat peguam yang mewakili mereka, Mohd Harris Abdullah kepada Pengurus Pentadbiran dan Operasi KPF Ahmad Tarmizi di ibu pejabat koperasi itu di Jalan Semarak di sini.

Turut serta pada penyerahan itu  Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Pada 17 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan telah membenarkan injunksi interim melarang KPF (defendan) berbincang atau membuat keputusan untuk melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF tersebut.

"Pagi tadi injunksi itu telah dimetrai di Mahkamah Tinggi Kuantan dan secara elok kami serahkan kepada pengurus KPF tadi.

"Kami juga serahkan satu saman yang akan diuruskan di mahkamah pada 19 Mac manakala injunksi akan didengar kedua-dua pihak pada 8 Mac ini," kata Mohd Harris kepada media selepas penyerahan itu.

Sehubungan dengan perintah mahkamah itu, Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF yang akan berlansung 22 Februari ini juga tidak boleh menyentuh perkara berkaitan pelupusan ekuiti mereka kepada FGVH untuk tujuan penyenaraian di Bursa Saham.

Menurut Mohd Harris, jika perintah itu tidak dipatuhi, KPF boleh didakwa kerana menghina mahkamah.

Mahkamah juga turut membenarkan permohonan plaintif untuk melarang KPF menguatkuasakan sebarang keputusan (sekiraya sudah diperolehi) untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holdings dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holding kepada FGVH.
Selain itu, KPF juga dilarang untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holdings kepada FGVH.

Usul penyenaraian


Sementara itu, Mazlan pula mendakwa dalam notis EGM yang dihantar kepada perwakilan KPF itu turut mengandungi usul dan penerangan berkaitan penyenaraian.

Sehubungan itu beliau sekali lagi mendesak agar EGM KPF nanti tidak melanggar perintah yangg telah diputuskan mahkamah.

"Kita harap usul-usul yang berkait penyenaraian ini jangan dibincangkan sama sekali, kalau tidak mereka menghina mahkamah.

"Kita tak halang EGM, tetapi isu-isu yang hendak dibincang itu adalah perintah mahkamah yang harus dipatuhi," katanya.

No comments: