Friday, February 24, 2012

Air: NGO Umno ghairah burukkan Kelantan


KOTA BHARU, 23 Feb: Mungkin kerana terlalu ghairah mahu memburukkan kerajaan negeri, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak diserahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sedangkan bidang kuasa SPAN hanya mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan bekalan air. Lesen yang dikeluarkan mencakupi kategori Lesen Kemudahan dan Lesen Perkhidmatan.

MTRK ada kaitan dengan Datuk Ibrahim Ali, sekarang diketuai adiknya, Azmi Ali dilaporkan mahu mengadakan perhimpunan Sabtu ini bagi mendesak kerajaan negeri menyerah pengurusan air kepada SPAN.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman (gambar) berkata, pihak terbabit jangan terlalu ghairah sehingga mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak mengikuti perkembangan semasa yang berlaku.

Katanya, Akta SPAN mula dikuatkuasakan pada Februari 2007, manakala Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (IPA) 2006 berkuatkuasa 1 Januari 2008.

“Sebelum penstrukturan baru, perkhidmatan bekalan air bagi setiap negeri diurus selia kerajaan negeri dan operator air yang dilantik.

“Melalui konsep penstrukturan semula, kerajaan negeri mempunyai autoriti sepenuhnya ke atas sumber air mentah, manakala kerajaan Persekutuan melalui SPAN dan operator air mempunyai autoriti ke atas pengoperasian sistem bekalan air negeri.

“Ia bertujuan mencapai penyeragaman standard dan polisi perkhidmatan air bagi semua operator air di Malaysia,” katanya di sini.

Azmi dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu akan melancarkan kempen sejuta tandatangan untuk diserah kepada kerajaan negeri melalui satu perhimpunan yang akan diadakan di hadapan Kota Darulnaim.

Md Anizam berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan bersetuju melakukan migrasi dengan memajak aset kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Katanya, sekarang di peringkat akhir menyiapkan dokumen-dokumen perjanjian sebelum tandatangani dalam tempoh terdekat ini.

PAAB ditubuhkan pada Mei 2006 dengan objektif utama sebagai pemegang lesen kemudahan sistem bekalan air dan pembentungan di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Selain itu mengambil alih pinjaman bekalan air kerajaan Persekutuan daripada negeri-negeri.

PAAB juga menyediakan kemudahan bekalan air kepada pemegang lesen perkhidmatan dengan bertindak sebagai pembiaya untuk projek-projek pembangunan prasarana bekalan air.

Md Anizam berkata, tidak berbangkit mahu menyerah pengurusan air kepada SPAN kerana badan itu entiti yang berlainan.

Katanya juga kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berusaha meningkat prasarana bekalan air selepas mendapat pinjaman mudah lebih RM500 juta bermula 2003.

“Sedangkan sebelum itu Kelantan dinafikan sebarang peruntukan dan pinjaman. Cuba bayangkan dalam tempoh 13 tahun disisihkan. Dan sudah tentu mengambil masa untuk dipulihkan semula.

“Pinjaman diberi pula bukan sekaligus. Lagi pun masalah air bukan hanya berlaku di Kelantan. Masalah itu berlaku di mana-mana sahaja memandangkan jumlah penduduk semakin bertambah,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya masalah tekanan rendah yang berlaku di beberapa tempat sebelum ini sudah diselesai dan banyak projek perumahan baru dilaksanakan.

Antara kawasan pertumbuhan baru iaitu Lembah Sireh, Bandar Baru Tunjung, dan Kubang Kerian tidak berbangkit masalah bekalan air.

No comments: