Thursday, February 23, 2012

PAS bersama tangisan, derita rakyat Palestin


KUALA LUMPUR, 22 Feb: PAS hari ini menegaskan lagi pendirian untuk kekal bersama ‘tangisan, air mata dan derita rakyat di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan bahawa keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama, kerana nyawa, harta dan tanah air mereka terus diganyang oleh Israel.

“Justeru semua pihak perlu memberi jaminan keselamatan kepada rakyat Palestin dari kebiadaban rejim Israel,” tegas beliau.

Mengenai pertemuan antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata pertemuan itu adalah bertujuan untuk membuka ruang penjelasan kepada Anwar berhubung kenyataannya dalam Wall Street Journal pada penghujung Januari lalu.

“Seperti yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, PAS sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa PAS berpendirian bahawa apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat.

PAS, tegasnya juga menolak road map yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksakan penyelesaian road map ke atas Palestin dan seluruh dunia.

Beberapa pemimpin Umno, termasuk ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan anak Tun Dr Mahathir, Datuk Mukhriz Mahathir semalam mengaku bahawa Malaysia sememangnya ada hubungan perdagangan dengan Israel.

Khairy berkata, kerajaan mempunyai polisi dan  pendirian yang jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dan diplomatik dengan Israel.

"Sebagai seorang ahli parlimen, saya sedar bahawa ada hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel tetapi ia adalah  hubungan antara syarikat.

"Saya harap perkara ini dapat diketahui umum bahawa kita berdagang  bukan kerana kita sokong Israel tetapi ini keperluan dari segi globalisasi," katanya.

Selain menolak kenyataan bloger Umno, kenyataan Khairy juga menolak kenyataan pihak pengurusan Perlabuhan Klang baru-baru ini.



Westport, Port Klang melalui Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian mengakui kehadiran Kapal Israel, ZIM Integrated Shipping Services Ltd yang berlayar dari Israel.

“PAS mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional yang diterajui yang berterusan berurusniaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel, ketika mana rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan,” tegas Tuan Ibrahim.

No comments: