Wednesday, February 22, 2012

PAS ajaran sesat: Pemuda Kelantan buat laporan polis


(Pemimpin Pemuda PAS Kelantan bergambar selepas membuat laporan polis)

PENGKALAN CHEPA, 21 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat, kerana ia boleh mengundang kekeliruan masyarakat.

Laporan berkenaan dibuat Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini.

Turut hadir memberi sokongan laporan polis itu wakil-wakil pemuda PAS kawasan antaranya dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Kubang Kerian.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan diketuai oleh timbalannya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kenyataan yang berbau fitnah oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.


Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Nuri Mat Yaacob, ketika memberitahu media berkata kenyataan tersebut merupakan suatu fitnah dan tidak berasas untuk mengundang provokasi dan perpecahan dikalangan masyarakat.

Katanya, PAS sebuah parti yang sah dan berdaftar sejak lebih  50 tahun di negara ini malah telah memerintah beberapa buah negeri termasuk Terengganu.

“Kenyataan itu juga menolak pengiktirafan rakyat terhadap kerajaan yang ditadbir PAS khususnya Kelantan.

“Justeru laporan ini dibuat supaya pihak polis membuat siasatan dan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Ahmad Said, akhbar Berita Harian serta pihak lain yang terlibat menyiarkan laporan tersebut,”ujarnya.

Laporan polis itu dibuat berikutan laporan sebuah akhbar harian pada 9 Febuari lalu yang menyiarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu itu yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat.

No comments: