Thursday, February 23, 2012

M’sia sekongkol syarikat urus niaga dengan Israel


KUALA LUMPUR, 23 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) kesal dan membantah keras dasar kerajaan mengizinkan syarikat Malaysia berurusniaga dengan syarikat atau kerajaan Israel.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh berlepas tangan dengan mengatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi merestui syarikat Malaysia mengadakan hubungan perniagaan dengan Israel,” kata Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin (kanan) dan Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri) dalam kenyataan bersama kepada Harakahdaily.

Ini, kata mereka sama dengan mengatakan sebuah ketua rumah tidak mahu mengiktiraf perompak tetapi membenarkan anggota keluarganya berurusan dengan perompak untuk mendapat keuntungan bersama.

“Apakah kerajaan boleh menganggap dirinya bersih dari menyokong ekonomi Israel dengan hanya mengatakan dia tidak mengiktiraf Israel tetapi masih mahu mengadakan hubungan ekonomi dengan sebuah negara haram iaitu Israel?

“Bukankah ini merupakan polisi hipokrit?”  soal mereka.

Ini, menurut mereka dalam satu ketika Malaysia tidak mahu mengiktiraf Israel namun dalam ketika yang lain turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi Israel.

“Kami dengan ini mendesak kerajaan Malaysia mendedahkan semua syarikat semada milik swasta yang bertapak di Malaysia atau mana-mana syarikat GLC yang mengadakan urusniaga dengan mana-mana syarikat Israel,” tegas mereka.

Kerajaan juga, kata mereka hendaklah mendedahkan apakah barangan dan perkhidmatan Israel yang masuk ke Malaysia melalui pihak ketiga seperti Singapura dan Thailand.

Bagi mereka, kerajaan perlu telus mengenai urusniaga yang dijalankan antara syarikat-syarikat Malaysia dan Israel serta hendaklah mendedahkan  berapakah nilai perniagaan yang dilakukan antara  pihak-pihak berkenaan dengan Israel.

“Kami tidak dapat menerima alasan kerajaan  bahawa urusniaga syarikat swasta dengan Israel tidak boleh dikawal,” kata mereka lagi.

Mereka menambah, dengan segala kelulusan yang berkaitan dengan import dan eskport yang pasti melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, perdagangan dengan Israel sememangnya boleh dipantau dan dihalang.

“Kami mendesak supaya suatu dasar yang jelas mengenai larangan berusniaga dengan mana-mana syarikat Israel hendaklah ditetapkan dengan jelas dan tegas.

“Kami mengutuk keputusan pihak berkuasa yang membenarkan kapal syarikat Israel berlabuh di pelabuhan Klang,” ujar mereka lagi.

Mereka mempersoalkan jika Gaza dikenakan dasar kepungan (blockade) sepenuhnya oleh tentera Israel sehingga tidak memungkin mana-mana kapal luar mendekati pantai Gaza, kenapa Malaysia dengan mudah membenarkan kapal Israel berlabuh di perairan Malaysia.

“Bukankah ini menunjukkan Malaysia tidak konsisten dengan penentangannya terhadap Israel?” soalnya.
Justeru, tegas mereka Mapim dan Shura mendesak supaya kerajaan tidak membenarkan mana-mana kapal perdagangan Israel masuk ke dalam perairan Malaysia.

“Mengizinkan kapal Israel berlabuh walaupun tidak membenarkan krewnya mendarat tidak membawa erti apa-apa kerana yang jelas ialah kebenaran memasuki perairan Malaysia itu sendiri sudah memberi mesej bahawa Malaysia merestui dan mengiktiraf Israel,” ujarnya.

No comments: