Friday, March 09, 2012

Hari Wanita: Kelantan buka rumah Sinar Harapan





(Datin Tuan Sabariah memotong reben sebagai tanda perlancaran rumah Sinar Harapan.)

KOTA BHARU, 8 Mac: Simbolik kepada sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Kerajaan Kelantan telah membuka dengan rasminya rumah perlindungan wanita ‘Sinar Harapan’.

Rumah empat bilik yang terletak di Pengkalan Chepa itu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, timbalannya Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Dewan Negara, Mumtaz Mohd Nawi.

Ubaidah (gambar) ketika berucap pada majlis itu berkata, rumah perlindungan untuk kaum wanita telah lama dirancang oleh kerajaan negeri, bagaimanapun hanya hari ini ianya dapat dirasmikan sepenuhnya.

Beliau memberitahu, antara tujuan ianya ditubuhkan untuk membimbing dan mendidik para penghuni sementara di rumah berkenaan supaya kembali ke pangkal jalan.

“Bukan semua kaum wanita yang bermasaalah dapat tinggal di sini, hanya mereka yang benar-benar memerlukan sokongan seperti diusir dari rumah, mangsa penderaan rumahtangga, keluarga.

“Mangsa rogol, penderaan seks atau yang dirujuk oleh mahkamah, Jabatan Halehwal Agama Islam, polis, badan-badan NGO dan berbagai lagi yang bertauliah,” ujarnya.

Beliau berkata, tempoh jagaan sementara paling maksimum enam bulan sebelum mereka diserahkan kepada pihak yang lebih berwajib, sama ada ke pangkuan keluarga, berdikari atau sebagainya.

Tegasnya, beberapa aktiviti telah diatur sebagai motivasi diri kepada mereka, iaitu kaunseling, motivasi dan peningkatan jatidiri, kemahiran asas, kemahiran kerjaya, rawatan perubatan apabila diperlukan.

Menurutnya lagi, penganiayaan terhadap wanita termasuk kanak-kanak semakin berleluasa.

“Penganiayaan terhadap golongan ini bukan sahaja secara fizikal, sebaliknya mental seperti mengeluarkan kata-kata yang kasar, menghina dan berbagainya.

“Ekoran itu golongan terbabit rasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup, kerana itu sokongan pihak lain perlu untuk membantu mereka,” ujarnya.

Sinar Harapan yang bertemakan ‘Datang Dengan Seribu Kenangan…Pulang Dengan Seribu Impian’ telah menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan terbabit.

Antaranya tempat penginapan, buku-buku untuk bacaan semasa di samping kuliah agama dan motivasi yang akan disampaikan oleh kaunseling.

No comments: