KUALA LUMPUR, 16 Nov: PKR hari ini mendedahkan beberapa transaksi yang dilakukan National Feedlot Corporation (NFC) bagi mengukuhkan bukti bahawa syarikat itu disalahguna untuk kepentingan keluarga dan ahli-ahli politik Umno BN.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution hari ini menunjukkan senarai empat transaksi yang dilakukan dari tahun 2008 hingga 2009.
Pada awal penubuhan NFC 2008, syarikat yang dikaitkan dengan suami dan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu membiayai perbelanjaan Shahrizat sebanyak RM26,400.
Ditanya ke mana perbelanjaan itu dilakukan, Saifuddin bagaimanapun mahu Shahrizat sendiri menjawabnya.
"Jika benar isu NFC tiada kena mengena dengan Shahrizat, sewajarnya beliau langsung tidak ada urusan dengan syarikat ini apatah lagi menggunakan wang NFC untuk membiayai perbelanjaan beliau," kata Saifuddin pada sidang medi di lobi Parlimen hari ini.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang turut berkata, NFC membayar sejumlah RM398,640 kepada dua pengarah NFC, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh pada 2009 sebagai bayaran sewa pejabat NFC di Mont Kiara.
"Tindakan menggunakan wang NFC dari dana RM250 juta untuk mambayar sewa kepada pengarah-pengarah NFC perlu juga dijawab Shahrizat," katanya.
Selain itu, NFC mendermakan lembu-lembu yang dibiayai menggunakan wang rakyat kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor pada 1 September 2009 bernilai RM5,281.87 dan Adun di Negeri Sembilan, Yunus pada 30 November 2009 bernilai RM2,640.93.
"Kalau isu yang serupa melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini, SPRM juga perlu tangkas menyiasat NFC, Datuk Shaziman dan YB Yunus kerana mendapat lembu yang dibiayai rakyat," katanya lagi.
Saifuddin juga mendedahkan, NFC menjual lembu secara hutang kepada pimpinan Umno seperti Datuk Seri Zulhasnan Rafique bernilai RM70,000 pada tahun 2008, yang hanya dibiayai pada tahun 2009.
"PKR boleh sahaja mendedahkan secara terperinci setiap perbelanjaan yang melibatkan ramai lagi pemimpin Umno dan dana rakyat berjumlah RM250 juta ini," tegasnya.
Selain itu kata Saifuddin, sejak menerima pinjaman mudah daripada kerajaan berjumlah RM250 juta, NFC tidak pernah sekali pun membayar balik kepada kerajaan sama ada pembayaran pinjaman pokok atau pun faedah 2 peratus yang dikenakan.
"Jika ia benar-benar sebuah pinjaman seperti yang didakwa pimpinan Umno, maka sekurang-kurangnya NFC perlu membayar RM5 juta setahun kepada kerajaan dalam bentuk faedah pinjaman," katanya.
No comments:
Post a Comment