Sunday, November 13, 2011

KELANTAN JUARA PIALA AGONG 2011


Piala Agong kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang selepas Melayu Kelantan bangkit dari ketinggalan untuk membenam cabaran juara bertahan Perlis 3-2 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Menurunkan kesebelasan terbaik yang dimiliki dengan kelibat beberapa nama pemain berpengalaman dari skuad Liga Super, Kelantan gagal mendominasi babak awal perlawanan apabila seringkali menerima asakan bertali arus dari jentera serangan Perlis.

Bermain dalam keadaan padang basah memberi kelebihan kepada Perlis untuk mengatur serangan bertali arus kearah kubu Sang Kijang.


Hasilnya, Mohd Muhaimin menggunakan kesempatan yang dimiliki didepan gawang Kelantan untuk jaringan pertama pelawat pada minit ke-34.



Selepas jaringan tersebut, Kelantan berusaha untuk memecahkan kebuntuan dihadapan 1000 penyokong setia mereka tetapi gagal menembusi gawang kawalan Mohd Izwan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak, Kelantan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas pemain pertahanan, Rosairil Asrol menggunakan pengalaman yang ada untuk mengikat jaringan kepada 1-1 pada minit ke-51.

Jaringan penyamaan tuan rumah nyata memberi tekanan kepada pemain Perlis memaksa mereka bertindak kasar keatas pemain Kelantan.

Kekasaran mereka akhirnya mengundang padah selepas terjahan kasar pemain Perlis keatas Aris Zaidi didalam kotak tidak memberikan pengadil perlawanan, Mat Yusoff Karim pilihan selain mengenakan hukuman sepakan penalti. Wan Rohaimi Ismail mudah menyempurnakan sepakan untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-67.

Jaringan kedua tuan rumah tidak melunturkan semangat Perlis mencari jaringan penyamaan dan usaha mereka akhirnya berhasil ketika permainan berbaki tiga minit selepas Mohd Ikmal bijak memanfaatkan ruang didepan gawang Kelantan pada minit ke-87.

Ketika perlawanan hampir berlarutan sehingga ke masa tambahan, Mohd Ramzul Zahini Adenan muncul wira apabila menjaringkan gol ketiga dan gol terakhir perlawanan memberikan Kelantan kejuaraan mutlak dalam kejohanan Piala Agong 2011.

Selaku juara, Kelantan menerima trofi Piala Agong dan medal dengan Aris Zaidi pula dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.


Kesebelasan Pemain:

Kelantan : Afendi Yusof

Mohd Shahrizan (GK), Nik Shahrul Azim, W.Rohaimi (C), Mohd Sani Nawi, T.Norhafizie, Norshahrul Hawari (Mohd Syawalrudin), Hafizi Awang (Noriman), Rosairil Asrol, Ramzul Zahini, Aris Zaidi dan Hamizi Harun.

Perlis : 
Izwan (GK), Faiz, Mohd Nasri, Rosmawadi, Andrien Jurad (Phulsakti), Mohd Muhaimin (Mohd Bahiyudin), Anas, Muhd Alif, Ezzrul, Mohd Ikmal dan Wan Khairul (Mohd Afif).

No comments: