KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.
Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.
"Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama 9 jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja Pembelajaran dan Pengajaran.
"Malahan guru sudah menjadi "multi purpose" kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu Ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut Idris, Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa, kerana di tangan mereka yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.
"Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat. Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat. Budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah," katanya lagi.
Kerajaan juga ujarnya perlu membanyakkan kemudahan dan membina banyak sekolah supaya mengurangkan bilangan pelajar di dalam sebuah kelas.
Banyak sekolah pada hari ini katanya dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi ada keselesaan kerana bilangan pelajar yanga begitu ramai.
Beliau menasihatkan kerajaan agar tidak jadikan guru sebagai makmal percubaan, sepertu sebelumnya ketika perlaksanaan PPSMI.
"Sekarang terdapat lambakan lebihan opsyen Sains dan Matematk seramai 26000 orang. Pihak Kementerian juga perlu selesaikan masalah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris yang tidak ada penempatan bertugas.
"Atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menjanjikan RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberi mandat ke Putera Jaya. Ini sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment