Friday, November 18, 2011

ISA: Tindakan terdesak Umno BN menjelang PRU13

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Majlis Pimpinan PKR Sabah menyifatkan tangkapan terbaru aktivis Islam di negeri itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu lagi tindakan terdesak Umno BN untuk pilihan raya.
Setiausahanya, Dr Roland Chia Ming shen berkata, tindakan itu bertujuan membangkit isu agama dalam kalangan masyarakat di daerah itu yang terkenal dengan perkembangan ilmu yang amat baik, laporKeadilanDaily.
“Media di Sabah hari ini melapor salah seorang tangkapan itu ialah Ustaz Nazri Dollah, tokoh agama berkelulusan dari Jordan dan kerap diundang oleh masyarakat untuk menyampaikan ilmu di sekolah dan surau di daerah itu.
“Maka dakwaan beliau terlibat dengan keganasan sungguh aneh, mana mungkin orang yang diundang untuk menyampaikan ilmu boleh dianggap pengganas kononnya mengancam keselamatan rakyat,” katanya menghubungi Keadilandaily.com hari ini.
Menurutnya, kalaupun beliau didakwa kononnya terlibat dengan aktiviti keganasan, mengapa mesti menggunakan akta ISA yang sebelum ini dijanjikan Najib sudah dimansuh sepenuhnya.
“Nak kata Ustaz Nazri ini PAS tidak juga kerana antara pendengar setia beliau dalam ceramahnya ialah ahli Umno selain tangkapannya turut tidak diketahui polis di daerah Tawau.
“Datuk Najib harus segera tampil menjawab persoalan ini,” katanya yang turut bimbang ekonomi Sabah terjejas akibat laporan mengenai dakwaan kononnya ada aktiviti keganasan di negeri itu.
Beliau mengulas laporan media di Sabah hari ini yang menyatakan Ustaz Nazri salah seorang yang ditahan di bawah Seksyen 73 (1), akta ISA kerana didakwa terlibat dengan keganasan.
Manakala laporan Berita Harian dan New Straits Times melapor antara 10 hingga 11 orang ditahan di bawah akta itu sejak Isnin lalu hingga semalam.

No comments: