Monday, May 16, 2011

Selepas Kedah, pemuda PAS berhimpun di Kelantan

PENGKALAN CHEPA, 16 Mei: Rakyat Kelantan khususnya golongan muda di negeri ini diseru menghadiri majlis munajat rakyat Kelantan menerusi program Himpunan 10,000 Pemuda Kelantan (Ipon 10,000).

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa ketika ditemui selepas program di sini memberitahu program berkenaan diadakan bertujuan untuk mempertahankan kerajaan Kelantan.

“Ianya juga diadakan bertujuan untuk menghalang perancangan pihak musuh yang tidak pernah letih untuk mengganggu-gugat pentadbiran kerajaan negeri,”ujarnya.

Jelasnya, ianya juga diadakan bertujuan untuk melancarkan jentera pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.

“Program ini juga untuk mendedahkan kepada rakyat Pemuda PAS Kelantan tidak pernah meninggalkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz walau setapakpun,”ujarnya lagi.

Program perhimpunan ini akan bermula pada jam 3.00 petang di Padang Perdana pada 20 Mei nanti.

Majlis akan bermula dengan solat Asar berjamaah, kemudian solat Maghrib berjemaah, kuliah Maghrib, bacaan al-Quran beramai-ramai untuk menjayakan 100 kali khatam.

“Kemudian solat sunat hajat, solat Isyak dan berakhir dengan ceramah isu-isu semasa,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Kelantan hadir beramai-ramai menjayakan majlis itu dengan membawa anggota keluarga bersama-sama.

No comments: