Anak muda lelaki dan perempuan tanpa mengira usia berbondong-bondong melangkah menuju ke tempat perhimpunan tersebut yang bermula jam 4 petang.
Tanpa ada upah dan kerahan membabitkan penjawat awam seperti gelombang merah, anak-anak muda berbaju hijau dan berketayap putih bersemangat. Laungan takbir bergema berulang kali di atas padang.
Tanpa menghiraukan pancaran terik matahari di ambang sore pemuda memenuhi khemah tempat pendaftaran sebelum bersila di atas tikar.
Ada juga anak-anak muda berjubah putih memenuhi sebahagian padang. Mereka hadir memberi sokongan bagi mempertahankan ketuanan Islam.
Tema perhimpunan tersebut ‘Tolak Umno Islam Selamat’ ternyata memberi suntikan baru selepas gelombang merah Umno kelihatan berada penghujungnya.
Program bermula dengan solat Asar berjemaah, diikuti celoteh Bob Lokman, anak tempatan yang kini menjadi ikon remaja apabila berubah daripada seorang seniman kepada pejuang Islam.
Persembahan dikir barat oleh Kumpulan Sri Halaqat menghiburkan anak-anak muda dengan dendangan lagu-lagu dikir berunsur nasihat.
Kira-kira jam 6 petang hampir seluruh padang dipenuhi anak-anak muda. Ikut sama pada program tersebut Nisa’ di kalangan muslimat muda.
Tempat parkir di sekitar Stadium Sultan Mohamad Ke-IV penuh sesak, begitu juga di Bazar Tok Guru. Laluan Jalan Mahmood jem dengan kenderaan bertali arus.
Sepanjang Jalan Hospital di kiri kanan jalan pula berderetan bas disewa pemuda kawasan dari seluruh Kelantan.
Himpunan tersebut merupakan kali kedua selepas himpunan serupa pernah diadakan menjelang pilihan raya umum lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman mengajak anak-anak muda bangkit selepas Umno kini semakin terdesak.
Katanya, Umno sekarang sudah kehilangan moral apabila terpaksa menggunakan taktik kasar bagi menghalang rakyat Kelantan menuntut royalti minyak.
“Ada rakan kita dipukul ketika sedang memasang sepanduk bagi menuntut royalti minyak pada Jumaat lalu. Ini mengggambarkan keadaan Umno benar-benar terdesak.
“Pemuda PAS tidak pernah takut dengan segala ugutan tersebut. Kita berjuang memastikan Umno terus hanyut dalam arus politik di negara ini,” katanya memulakan ucapan pada perhimpunan tersebut.
Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat, Ustaz Firdaus Jaafar berkata, Kelantan menjadi benteng terakhir bagi mempertahankan perjuangan Islam.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizat Kayan pula memberitahu kubu terakhir Umno di negara ini ialah Johor.
“Kuatnya Umno di Johor sama dengan kebalnya PAS di Kelantan yang menjadi kubu akhir bagi mempertahankan Islam,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya mempertahankan kemenangan perlu dengan kerja keras kerana Umno masih mempunyai segala kuasa bagi mempertahankan saki baki kuasa mereka.
Hadir sama pada petang tadi, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhamad Fadzli Hassan.
Manakala malam ini diadakan solat sunat hajat dan bacaan al Quran 100 kali khatam.
Selepas itu diadakan ikrar Jentera Pemuda PAS Kelantan dan berakhir dengan amanat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
No comments:
Post a Comment