Monday, May 16, 2011

SMS: SPR jangan undur ke belakang

KUANTAN, 16 Mei: PAS mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil jalan undur ke belakang dengan melarang ejen calon membawa telefon bimbit untuk mengelakkan penyaluran tidak rasmi berlaku di hari pengundian seperti yang dilaporkan di sebuah akhbar tempatan hari ini.
“Adalah lebih baik untuk SPR mencari jalan yang lebih telus dengan menyiarkan keputusan jumlah undian di setiap peti undi melalui tayangan skrin besar di luar kawasan penjumlahan.
“Ini sekaligus akan berjaya mengelakkan maklumat tidak rasmi di setiap peti undi,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam reaksinya terhadap laporan akhbar Berita Harian hari ini.
Berita Harian melaporkan bahawa mulai pilihan raya umum ke-13 yang dijadualkan tidak lama lagi, ejen parti politik yang bertugas di pusat pengiraan undi dan pusat mengundi dilarang membawa masuk telefon bimbit.
“Ia bagi mengelakkan parti politik menyalurkan maklumat, khususnya keputusan tidak rasmi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook atau Tweeter sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, baru-baru ini,” tambah laporan itu lagi.
Namun begitu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berpendapat bahawa dengan kecanggihan teknologi masa kini adalah sukar untuk menghalang penyebaran maklumat.

No comments: