Thursday, May 19, 2011

Orang Asal ditaja ’demo’ di Gua Musang

GUA MUSANG,19 Mei: Pagi semalam kelihatan dua bas disewa khas bagi membawa penduduk Orang Asal dari Kuala Betis, Jias dan Lambok berhimpun di hadapan Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang.
Selain itu beberapa orang lagi datang dengan motosikal. Jumlah keseluruhannya sekitar 100 orang yang ditaja pihak tertentu kononnya bagi membantah Ladang Rakyat.
Apakah benar isu Ladang Rakyat yang dibantah mereka, sedangkan di kawasan terbabit belum ada projek perladangan milik Ladang Rakyat dijalankan.
Penghulu Orang Asal di Gua Musang, Anjung Alang berkata, penduduk Orang Asal diangkut khas datang dari beberapa penempatan untuk berhimpun di sini semalam.
Katanya, setiap mereka diberi duit antara RM5 hingga RM10 sebagai sagu hati kerana datang ke perhimpunan tersebut.
”Isu sebenar bukan berkaitan Ladang Rakyat sebaliknya bantahan terhadap perobohan rumah ibadat yang dibina di tanah rezab kerajaan beberapa tahun lalu.
”Pihak tertentu membawa penduduk Orang Asal dari beberapa penempatan untuk berhimpun di sini dan bukan berkaitan isu Ladang Rakyat seperti dilaporkan media,” katanya di sini.
Difahamkan isu perobohan sebuah rumah ibadat tersebut dibawa ke mahkamah oleh pihak tertentu dan sudah diselesaikan kerajaan negeri.
Beberapa media hari ini melaporkan seramai 500 penduduk Orang Asal dari 40 kampung di pedalaman berhimpun di hadapan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang menyerah memorandum menuntut supaya menghentikan pengambilan balik tanah adat mereka.
Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin berkata, memorandum yang diserah penduduk Orang Asal kepada kerajaan negeri pada Febuari lalu bukan berkaitan isu Ladang Rakyat.
”Isu sebenar mereka mahu kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat untuk masyarakat Orang Asal dan tidak timbul projek perladangan di bawah Ladang Rakyat.
”Lagi pun isu syarikat yang memajukan projek Ladang Rakyat di Pos Balar sudah diselesaikan apabila tiga penduduk Orang Asal yang memiliki enam batang pokok getah disodok syarikat telah dibayar pampasan.
”Setiap seorang mendapat sebanyak RM1,200. Jadi isu tersebut tidak berbangkit lagi,” katanya.
Malah kata beliau dakwaan Adun Galas, Abdul Aziz Yusof kononnya kerajaan negeri merampas tanah milik Orang Asal tidak berasas sama sekali.
Sementara itu di Kota Bharu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sehingga kini telah memberi kelulusan sebanyak 78 lot kepada penduduk Orang Asal di Gua Musang.
“Selain itu kerajaan negeri sedang berusaha mewartakan melalui Seksyen 62 Kanun Tanah Negara di empat kawasan di Gua Musang.
“Ini termasuk seluas 428 ekar di Pos Jedip, di mana susun atur dan pelannya sudah siap cuma kita hanya menunggu pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia mengukur,” katanya di pejabatnya hari ini.
Selain itu, katanya sebanyak 600 ekar lagi di Pos Blau, Kuala Betis, 3,500 ekar termasuk di Tanah Tinggi Lojing akan direzabkan untuk masyarakat terbabit.
Oleh itu beliau menasihat Orang Asal tidak mudah diperalatkan pihak tertentu bagi memburukkan kerajaan negeri.
Pada April lalu Suhakam mengakui kerajaan Kelantan prihatin terhadap masyarakat Orang Asal di mana usaha sedang dilakukan bagi mewartakan kawasan penempatan mereka.

No comments: