Thursday, May 19, 2011

Ustaz Kasim Ahmad kembali ke rahmatullah

KUALA TERENGGANU, 19 Mei: Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74, (gambar)kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10.30 pagi tadi di rumahnya di Kampung Tuan Mandak, Pekan Batu Enam.
Beliau meninggal dunia di sisi isteri keduanya, Puan Zainab Awang, 41, dan anak-anak setelah diserang penyakit angin ahmar hampir sebulan lalu dan pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulamak PAS Terengganu meninggalkan dua balu, Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.
Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang selepas solat Asar tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah.
Semasa hayat, beliau yang dilahirkan pada 11 September 1937 di Kuala Rompin, Pahang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1972 hingga 1975 dan Pengerusi Tetap PAS Pusat.
Selain pesuruhjaya negeri, beliau pernah diamanahkan sebagai setiausaha, bendahari dan ketua penerangan PAS negeri, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.
Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Pembangunan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Pengerusi Koperasi Insaf Negeri Terengganu (KoINSAF).
Antara pimpinan PAS yang menziarahi allahyarham pagi tadi ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua dan Setiausaha Muslimat PAS negeri, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri, Dr B Chandran dan Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang.
Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada enam beradik juga pernah menjadi Exco Kerajaan Terengganu pada 1972 hingga 1974 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marang.

No comments: