KUALA LUMPUR, 21 Mei: Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat hari ini memohon maaf ekoran lima nama yang layak bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada muktamar tahun ini tercicir dari senarai awal yang diedar kepada media 17 Mei lalu.
Lima calon tersebut adalah termasuk Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob, Yang Dipertua PAS Keningau Hishamuddin Sulaiman, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Kamal Ashaari dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Husin.
"Keciciran ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan sewaktu memindahkan nama-nama calon ke dalam senarai untuk diedarkan kepada media sahaja.
"Saya mewakili pihak JK Pemilih memohon maaf di atas kesilapan teknikal yang tidak disengajakan ini," kata Pengerusi JK Pemilihan PAS 20011, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.
Bagaimanapun katanya, kelima-lima calon tersebut telah pun dimaklumkan akan kelayakan mereka untuk bertanding dan surat juga telah pun dihantar.
Sebelum ini, hanya nama Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat dikesan tertinggal dari 82 nama yang disenarai kepada media dan pembetulan telah dimaklumkan 18 Mei lalu.
Bagaimanapun, selepas membuat semakan secara keseluruhan, empat lagi nama trurut tercicir.
Dengan pembetulan tersebut, bermakna jumlah keseluruhan calon yang layak bertanding jawatan AJK PAS Pusat untuk sesi 2011-2013 adalah seramai 87 orang.
Selepas menerima senarai pencalonan dari kawasan katanya, JK Pemilihan katanya terpaksa meneliti termasuklah nama calon yang tidak lengkap, nama sama yang bertindan, salah ejaan nama dan salah catatan.
"Tuan tuan tahu yang hantar pencalonan ini 148 kawasan iaitu seramai 2628 calon senarai semua. Masa sangat suntuk. 15 haribulan (Mei) kita tutup pencalonan, 16 haribulan kita terima dan 17 haribulan media minta kita umum.
"Petugas kita buat kerja sampai larut malam, nak keluar biji mata...kesalahan manusia ini biasa la, nak buat macamana." katanya lagi.
Kesemua mereka yang layak bertanding perlu menyatakan persetujuan sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum jam 5.00 petang 26 Mei ini .
Pembetulan AJK Dewan Pemuda dan Ulama
Sementara itu, pembetulan juga turut dibuat terhadap senarai calon yang layak bertanding bagi jawatan AJK Dewan Pemuda dan Dewan Ulama.
Untuk pemuda, daripada 68 nama yang layak bertanding sebelum ini diperbetulkan menjadi 63 orang ekoran lima dari mereka melebihi umur yang yang dihadkan iaitu 40 tahun ke bawah.
Mereka yang dikeluarkan adalah Nik Abduh Nik Aziz, Ustaz Kamal Ashaari, Taufiq Ghani, Dr. Zuhdi Marzuki dan Zuraidin Abdullah.
Untuk AJK Dewan Ulama pula, daripada 26 senarai asal sebelum ini dikurangkan menjadi 24 orang ekoran terdapat dua nama yang disenarai dua kali dengan ejaan berbeza.
Mereka adalah Ustaz Abu Bakar Abdullah yang juga disenarai dengan nama satu lagi iaitu Ustaz Abdullah Abu Bakar dan Ustaz Shuib Din yang juga disenarai dengan satu lagi nama Ustaz Shuib Mat Amin.
No comments:
Post a Comment