Monday, May 28, 2012

Wasatiyyah kosmetik pada Himpunan Jutaan Belia


KUALA LUMPUR: Mungkin ada segelintir masyarakat yang teruja terhadap Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya tetapi yang pastinya ramai yang terkesima dan kecewa.

Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melahirkan kekecewaan kerana ruang yang baik sudah tersedia, tetapi kenapa perlu dicemari dengan budaya-budaya yang tidak elok.

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamudden (gambar) berkata, usaha pembentukan belia perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Semua maklum bahawa belia merupakan aset negara yang mesti digilap, bukan dibiarkan sahaja tanpa mendapat bimbingan yang betul,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, penganjuran Himpunan Jutaan Belia pada 23 hingga 27 Mei 2012 di Putrajaya mungkin merupakan sebuah projek mega kerajaan untuk menggilap potensi golongan belia.

Namun, kata beliau program hiburan yang melampau, bukan sekadar menghilangkan nilai-nilai ketimuran, malah yang lebih teruk ialah mencalarkan imej Islam yang sudah lama terpahat pada Malaysia.

Justeru, tambah beliau konsep wasatiyyah yang seringkali dilaungkan oleh kerajaan, hakikatnya telah terpesong dari matlamat.

Jelasnya, wasatiyyah bukannya bermaksud mengambil separuh yang baik lalu dicampur dengan separuh yang buruk, maka jadilah wasatiyyah.

“Kesilapan dalam memahami konsep ini secara betul akan mencemarkan lagi pandangan masyarakat terhadap Islam, apatah lagi menggunakan nama Islam untuk mencantikkan perkara yang buruk.

“Kita amat risau sekiranya wasatiyyah (atau yang lebih sesuai digunakan dalam konteks ini ialah moderate) yang dicananangkan oleh kerajaan sebenarnya adalah boneka kepada Amerika,” jelasnya lagi.

Hal ini, ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Yayasan RAND iaitu sebuah pusat pemikiran terbesar di dunia yang berpusat di wilayah California, Amerika.

Beliau berkata, ia menjadikan agenda kesederhanaan (moderate) sebagai medium untuk menghalang gerakan islam lain dari bangkit.

Malah, katanya lagi kesederhanaan dan ciri-cirinya perlulah mengikut kefahaman Amerika Barat, bukannya kefahaman Islam yang syumul.

“Perlu ditegaskan, Islam adalah agama yang praktikal tidak cukup sekadar teori,” katanya.

Islam juga, kata beliau bukannya agama rasmi sahaja yang berlegar dalam majlis-majlis keramaian, solat dan seumpamanya tetapi agama yang ‘hidup’ dalam kehidupan kita seperti yang disifatkan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi tanpa penghayatan mendalam.

Beliau berkata, projek pembangunan belia mesti dipandang serius sama ada dari sudut pengisian mahupun teknikal.

Gagasan tersebut juga, ujar beliau sewajarnya melalui perbincangan dengan golongan cendekiawan.

“Justeru, Gamis melihat aspek utama yang perlu dititikberatkan ialah rohani dan keilmuan.

“Belia wajar digilap dari sudut keilmuan dan kerohanian supaya perkembangan belia menjadi seimbang disamping aspek-aspek sampingan disemai ke dalam jiwa belia,” katanya.

Selain itu, kata Akram ruang yang wujud dalam projek membangunkan belia iailah melalui kebajikan boleh diperkasakan untuk belia.

“Contohnya pendidikan percuma, prasarana yang lengkap bagi sukan dan kebudayaan di kawasan pedalaman, kurangkan tahap pengangguran dengan mewujudkan institusi-institusi belia yang efektif bagi membantu ekonomi belia dan sebagainya.

“Tuntasnya, dalam keghairahan kita membangunkan ‘peradaban’ sehingga kita terlupa perkara asas yang menjadi tonggak kepada peradaban tersebut. Seperti pesanan seorang reformis Islam, Malek Bennabi ‘membangunkan peradaban tanpa kerohanian adalah gagal’,” ujarnya.

No comments: