Monday, May 28, 2012

Lebuh raya: Pihak luar lebih baik diam


KOTA BHARU: Kelantan meminta pihak luar memberi peluang kepada kerajaan negeri membina ‘lebuh raya rakyat’ tanpa mengeluarkan persoalan negatif apa lagi berbaur tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata sebaiknya berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan negatif berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian kepada media semalam ketika mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fathmi Che Salleh, yang mendakwa pembinaan lebuhraya oleh kerajaan negeri tidak akan berjaya.

Pada sidang medianya itu Husam seterusnya berkata, kerajaan negeri telah memilih lima daripada sembilan syarikat yang berhasrat untuk membina lebuhraya ini.

“Kita buat saringan akhirnya daripada lima syarikat dan hasil daripada pemerhatian itu, kita telah memilih dua daripada sembilan syarikat yang memohon.

“Syarikat ini kebetulan pula syarikat yang terkenal dan mana-mana pihak  yang meraguinya boleh menyemak track recordnya sebelum ini,” ujar Husam lagi.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan negatif pihak berkenaan, adakah munasabah sebuah syarikat besar tiba-tiba ingin menyerah diri untuk melaksanakan projek yang tidak ada jaminan pembayaran.

“Kalau saya adalah pemilik syarikat itu, saya tidak akan menerima projek besar ini yang langsung tidak dijamin pembayarannya.

“Kerana dia yakin kerajaan negeri akan membayar berdasarkan strategi yang kita aturkan dengan syarikat berkenaan,” ujarnya.

Atas keyakinan itu katanya, syarikat berkenaan menawarkan diri, ia bukan syarikat tepi jalan yang tidak ada pengalaman iaitu Menta Contraction untuk fasa pertama.

Jadi katanya, Fathmi boleh menyemak latarbelakang kemampuan syarikat itu sebelum ini.

“Pilihanraya dijangka tidak akan diadakan pada tempoh yang terdekati ni, jadi kita ada peluang untuk melihat lebuhraya ini ada progress ataupun tidak,” ujarnya.

Beliau turut mengambil contoh Jambatan Sultan Yahya Petra yang pernah disindir akan pembinaannya oleh pihak Umno dan akhirnya dengan sokongan rakyat, ianya berjaya dibina.

“Andainya Jambatan Sultan Yahya dianggap satu perkara mustahil, lebihraya ini juga bukan suatu yang mustahil. Sebagai sebuah kerajaan negeri, kita mempunyai cara, kemudahan, untuk melaksanakan projek sperti itu.

“Ia akan menjadi tunggak kepada kejayaan pembinaan pembangunan yang lain pada masa akan datang termasuk pendaratan gas dan minyak,” katanya.

Menyentuh ada pihak yang membandingkan pelabuhan darat di Kuala Krai dan jambatan di Palekbang, Tumpat yang tidak berjaya dilaksanakan, Husam mendakwa ianya bukan projek kerajaan negeri.

Katanya, Jambatan Palekbang dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta yang juga bakal memajukan Hotel River View yang ada sekarang.

Menurut Husam lagi, Hotel River View telah beroperasi kecuali jambatan kerana telah berlaku kegawatan ekonomi pada tahun 1997, di mana syarikat Ardona dari Pulau Pinang itu telah membatalkan projek berkenaan.

“Perkara ini dipersetujui bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan ini bukan projek kerajaan negeri, sebaliknya projek swasta,” ujarnya.

Sambungnya, berlainan pula dengan projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang diusahakan oleh kerajaan negeri, begitu juga pelabuhan darat.

Katanya, pelabuhan darat dicadangkan oleh pihak swasta di atas tanah mereka sendiri dan bukannya dari kerajaan negeri.

Menurutnya, kegagalan itu kerana masalah kegawatan ekonomi menyebabkan tanah syarikat tesebut terpaksa dilelong.

“Kerajaan negeri hanya bekerjasama dalam beberapa perkara khususnya berhubung kelulusan bagi membolehkan pelabuhan darat itu diadakan sebahagiannya pula dari kementerian di peringkat Pusat,” ujarnya lagi.

Sambungnya, antara kerajaan dan syarikat suatu yang berbeza.

Katanya, pembinaan lebuhraya ini 100 peratus diusahakan dan milik kerajaan negeri.

“Tetapi saya tidak mahu berkata apa-apa sekarang, fokus kita insyaallah kita akan buat apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Husam seterusnya menambah, pihak di luar sana diharap memberi peluang pada kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat rakyat tanpa sebarang kenyataan negatif.

Apa yang penting sekarang ini, jelas Husam peluang amat wajar diberikan pada kerajaan negeri untuk meneruskannya dan bukannya membuat sebarang spekulasi.

Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai mula dirasmikan pembinaan pecah tanah hari ini oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaik sahaja majlis pelancarannya dilakukan, kerja-kerja membina lebuhraya sepanjang 65 kilometer itu akan bermula.

No comments: