Sunday, November 18, 2012

Ribuan anak muda “bermuktamar” di Dataran Stadium

KOTA BHARU: Bukan sahaja di sekitar Putik di Pengkalan Chepa hangat dengan suasana muktamar, sebaliknya Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV petang semalam juga dilimpahi kehadiran ramai anak muda.

Lebih 10,000 anak muda yang datang dari seluruh pelusuk negara  menghadiri program berkenaan, bermula solat asar diimamkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Sebelum itu diadakan perarakan motosikal anak muda yang memakai baju berlogo “R”. Selain itu diseri pula pertunjukkan tarian naga dikendalikan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan.

Himpunan tambah meriah dengan kehadiran selebriti hijrah Abby Abadi dan Syam Kamikazie. Turut dimeriahkan lagi kehadiran anak-anak muda Orang Asal dari Gua Musang.

NGO R juga menyediakan banner yang bertulis  “Pijak Tanda Protes Wang Ihsan & Pengkhianat Royalti” dipijak beramai-ramai anak-anak muda.

X-Presi Anak Muda juga menampilkan persembahan menarik oleh Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil yang mendendangkan lagu ciptaan sendiri.

Persembahan deklamasi sajak bertajuk “Mengukir Langkah Ke Putrajaya” ciptaan wartawan Harakah, Salmah Mat Hussin yang dideklamasikan Ketua Amirah Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki.

Anak muda juga berpeluang bersembang bersama Abby Abadi yang dipengerusikan Ustaz Azariza Alawi. Abby ketika menjawab soalan berkata, Kelantan sebelum ini antara negeri yang tidak diminatinya,  namun setelah mendapat hidayah, Kelantan pula menjadi pilihan utama sekarang.

“Saya pernah juga mengikuti program dianjurkan Umno ketika menjadi artis, namun tidak berminat membicarakan hal Islam dan politk, namun kini saya amat berminat untuk mendampingi program dianjurkan PAS,” ujar beliau.

Himpunan itu juga disertai Angkatan Muda Keadilan Kelantan diketuai Azihan Che Seman.

Ketika berucap katanya, kesepakatan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat ternyata disokong anak muda bagi menjayakan aspirasi Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Sementara itu kibaran bendera berwarna merah, kuning, hijau dan oren turut memeriahkan suasana di Dataran Stadium. Himpunan itu diakhiri ucapan Ketua Muslimat PAS Pusat,  Siti Zailah Mohd Yusof dan Abdul Latiff.

No comments: