Sunday, February 24, 2013

Petugas pastikan Jelajah Negara Berkebajikan lancar



ALOR SETAR: Jelajah Negara Berkebajikan PAS sudah memasuki hari kedua dengan meneruskan program di beberapa tempat sekitar Kedah sebelum majlis ceramah perdana pada malam ini di Pendang.

Setiap kali treler menuju ke tapak program sudah pasti sambutan yang hangat diberi terutamanya dari sudut kemudahan yang disediakan bagi menyiapkan pentas ceramah.

Namun segalanya tidak akan berjaya tanpa tenaga kerja teknikal yang sentiasa membantu bagi menjayakan program tersebut.

Dengan tenaga teknikal seramai tujuh orang yang terdiri daripada wartawan Harakahdaily dan Harakah serta peguam dapat memastikan segalanya berjalan lancar.

Pengalaman menulis mahupun di mahkamah tidak menghalang mereka melaksanakan tugas di peringkat awal, jelas Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff.

Beliau yang bertanggungjawab pada peringkat awal treler jelajah tersebut amat berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua tenaga teknikal jelajah itu.

Kata beliau, walaupun mereka merupakan wartawan yang hanya terlibat dalam bidang penulisan sahaja sebelum ini tetapi dapat melaksanakan tugas masing-masing bagi menyelesaikan segala kerja-kerja teknikal sebelum diserahkan kepada pihak penganjur program di sesuatu lokasi.
Bermula dari kerja membuka penutup dan penyiapan pentas sehinggalah sistem pembesar suara, segalanya dilakukan oleh tujuh tenaga kerja tersebut.

Jelajah Negara Berkebajikan akan berada di Kedah sehingga Ahad ini sebelum kembali ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Konvesyen Pakatan Rakyat yang berlangsung 26 Februari di Shah Alam.

No comments: