SHAH ALAM: "Lebah bukan sebarang lebah, lebah terbang di tepi paya, ubah bukan sebarang ubah, ubah kita ke Putrajaya".
Pantun yang diberikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini mendapat tepukan gemuruh para peserta Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 semalam.
Selain itu, beliau juga berpantun:
Daripada cempedak baiklah nangka,
kerana nangka panjang tangkainya,
daripada 'dedak' baiklah jingga,
kerana jingga panjang akalnya.
Dalam ucapannya, Ustaz Hadi berkata Pakatan Rakyat bertanggungjawab mencerdikkan rakyat melalui agenda Buku Jingga setelah lebih 50 tahun rakyat diperkudakan oleh Umno BN.
"Kita tidak mahu rakyat dihina dan diperkudakan. Buku Jinggalah akan menyelesaikan masalah. Insyallah rakyat tidak boleh dibodohkan. Tanggungjawab kita mencerdikkan rakyat," katanya.
Jelasnya, Buku Jingga menekankan konsep rakyat dimampukan bukannya rakyat diajar menjadi pengemis, di mana melalui agenda buku ini akan menyelesaikan masalah pengangguran bukannya menambah pengangguran supaya senang membeli undi.
"Cara BR1M tidak membijakkan rakyat. Rakyat dibijakkan terima BR1M tetapi jangan undi BN. BR1M itu duit kamu bukan duit poket BN, ambil," katanya yang diikuti tepukan gemuruh para perwakilan.
Malah Hadi turut membacakan sepotong ayat Al-quran yang menceritakan semula kisah Nabi Musa berhubungan kekayaan Firaun yang digunakan untuk menyesakkan rakyat bukannya untuk membela rakyat.
"BR1M bukan cerita baru, Al-quran sudah sebut lebih lima enam ribu tahun yang lalu. Firaun pernah bagi BR1M. Firaun telah mengerahkan rakyatnya.
"Dikumpul beramai-ramai lalu Firaun berucap. Tidakkah aku menjadi pemerintah berkuasa di Mesir ini? Sungai-sungai mengalir di kampung-kampung adalah projek aku. Di bawah penguasaan aku.
"Aku yang bagi. Satu lagi projek aku. Al-Quran berkata maka Firaun menjadikan rakyat ringan akal dan membodohkan rakyat," katanya diiringi ketawa yang menggamatkan dewan konvensyen.
No comments:
Post a Comment