Thursday, February 02, 2012

Awang Adek ketinggalan maklumat – Exco

KETEREH, 1 Feb: Datuk Dr Awang Adek Hussin agak ketinggalan apabila mengulangi kenyataan Yayasan Islam Kelantan (Yik) belum menghantar senarai pelajar bagi mendapatkan bantuan RM100.

Sedangkan senarai penuh sudah dihantar pada 25 Januari lalu setelah Yik menerima pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bertarikh 15 Januari 2012.

Malah taklimat juga diadakan kepada pengetua-pengetua pada 19 Januari lalu.

Anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu agak ketinggalan apabila tidak mendapat maklumat sebenar.

"Sebagai seorang Timbalan Menteri Kewangan II beliau mesti cermat mengeluarkan kenyataan supaya tidak menimbulkan salah faham," katanya  selepas mengumumkan keputusan peperiksaan STAM 2011 di Kolej Yik di sini, hari ini.

Baru-baru ini Awang Adek beberapa kali mengulangi kenyataan dengan mengharapkan Yik memberi kerjasama kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk membolehkan pelajarnya menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100.

Pada Disember lalu ketika datang ke Kelantan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji untuk memberi bantuan RM100 kepada pelajar-pelajar sekolah agama di bawah Yik seperti dinikmati pelajar lain.

No comments: