Thursday, February 02, 2012

Penjawat awam pusat dikerah sambut TPM esok


KUALA KRAI, 1 Feb: Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kampung Manek Urai Baru esok mungkin terkejut melihat projek pembesaran jambatan (gambar) yang tersasar daripada jadual asal.
Malah kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pembinaan jambatan itu mengikut jadual, ditolak penduduk tempatan.

Biar pun kerja-kerja pembinaan dimulakan ketika menjelang kempen pilihan raya kecil Dun Galas pada Oktober 2010, namun struktur asas di sungai belum kelihatan.

Sehingga kini hanya kelihatan kerja-kerja membina gelegar jambatan dan tiang di bahagian daratan sahaja.
Difahamkan juga subkontrak yang terbabit dengan pembinaan jambatan itu sudah beberapa kali bertukar tangan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Muhyiddin menganggarkan peruntukan sebanyak RM7 juta hingga RM10 juta bagi membesarkan jambatan yang sedia ada.

Namun sekarang peruntukan sudah meningkat kepada lebih RM14 juta. Projek jambatan itu dilihat senasib dengan projek jambatan kedua Sultan Yahya Petra di Kota Bharu yang sudah jauh melewati tarikh asal disiapkan.

Muhyiddin juga mungkin malu apabila melihat projek kompleks sukan di Kampung Manjor yang bernilai RM300,000 hanya sekadar disiapkan padang dan astana kecil sahaja.

Seorang penduduk tempatan, Zamri Jusoh, 43 berkata, kompleks sukan yang diuar-uarkan Umno hanya sekadar meratakan tanah dan membina astaka kecil.

“Tak kan pula sekadar meratakan padang dan membina rumah kecil membabitkan kos sehingga RM300,000. Penduduk di sini ingatkan kompleks sukan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Namun ia tidak lebih sekadar gimik politik semata-mata bagi mengelabui mata rakyat,” katanya di sini.

Difahamkan juga kehadiran Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyebabkan pihak sekolah memberi kebenaran pelajar pulang lebih awal esok bagi membolehkan guru-guru hadir pada program berkenaan.
Menurut sumber kakitangan kerajaan persekutuan di tempat-tempat lain di sekitar Kuala Krai turut diarah hadir pada program terbabit.

Penjawat awam tersebut termasuk guru, kakitangan hospital dan pelbagai lagi jabatan lain. Mereka difahamkan dibekalkan baju khas berwarna merah bagi menggambarkan gelombang merah.

Ketua Umno Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman sebelum ini mensasarkan seramai 15,000 orang hadir pada program itu.

Manakala guru-guru di Kota Bharu pula dikerah hadir pada program Muhyiddin di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat pada sebelah pagi.

Kedua-dua program terbabit akan diselit dengan penyampaian bauncer Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Sementara pada 4 Febuari ini pula guru-guru difahamkan akan dihimpunkan di Kok Lanas bagi mendengar ceramah yang akan disampaikan pemimpin Umno.

No comments: