KOTA BHARU: Saban hari media harian memaparkan
keprihatinan kerajaan pusat mengatasi masalah bekalan air di Pasir Mas
dan Tumpat di bawah projek Penapis Air 1 Malaysia.
Projek berkenaan dikendalikan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)
menggunakan penapis Ultra BIO Pure, di mana dilaporkan berharga antara
RM65,000 hingga RM95,000 seunit.
Sehingga kini beberapa lokasi sudah dipasang peralatan tersebut
termasuk Kampung Belukar di Pasir Mas dan Kampung Derdap, Tumpat.
Di Kampung Belukar dipasang di sebelah rumah Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). Dan Projek Penapis
Air 1 Malaysia Padang Tok La difahamkan akan dibina berhampiran rumah
Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.
Secara jelasnya projek berkenaan biar pun di bawah peruntukan
kerajaan pusat sebanyak RM2 juta, namun ia ada kaitkan secara langsung
dengan Umno.
Biar pun rakyat Kelantan di kawasan yang dikenal pasti menghadapi
tekanan rendah sebelum ini sekarang menerima tambahan bekalan air
melalui projek berkenaan, namun ada isu lain pula yang tidak diketahui
umum.
Berdasar kepada keputusan makmal yang dikeluarkan sebuah badan
daripada kajian sampel air di Kampung Derdak, Tumpat didapati banyak
yang tidak menepati piawaian ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN).
Antaranya ujian pH didapati gagal di mana keputusan didapati 6.050 sedangkan standard ditetapkan 6.5.
Begitu juga ujian baki klorin didapati gagal di mana hasil diperolehi 0.01 mg/l sedangkan ditetapkan SPAN tidak kurang 0.2 mg/l.
Manakala kandungan besi juga gagal menepati ketetapan SPAN, di mana
ujian mendapati 0.62 mg/l, sedangkan sepatutnya tidak melebihi 0.3
mg/l.
Bagaimanapun menurut kajian tersebut paling membimbangkan ujian
kandungan coliform didapati melebihi 200 cfu/100ml sedangkan sepatutnya
tiada bahan tersebut.
Begitu juga dengan ujian kandungan E.coli didapati terdapat 4 cfu/100ml, sedangkan sepatutnya 0 cfu/100ml.
Sumber pakar dalam industri air berkata, sepatutnya SPAN dan Jabatan
Kesihatan tidak berdiam diri terhadap isu yang dibangkit tersebut kerana
dibimbangi boleh memudaratkan orang ramai.
No comments:
Post a Comment