Thursday, August 30, 2012

Kerajaan tolak dakwaan pembangunan punca banjir

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan pembangunan sebuah pulau berhadapan Pangkalan Kerepok di Kampung Laut, Tumpat akan memberi masalah kepada penduduk di musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan penduduk tidak tepat kerana pembangunan yang dirancang di kawasan berkenaan dijangka tidak memberi kesan berlakunya banjir.

“Berdasar kepada rekod yang ada khususnya dalam tempoh 50 tahun ini sejak 1926, hanya pada 2004 paras banjir direkod paling tinggi iaitu tujuh meter daripada paras bahaya.

“Selepas tahun itu khususnya sejak bermula projek pembangunan di Lembah Sireh, keadaan mula berubah dari segi paras banjir,” katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam akhbar melaporkan penduduk Kampung Laut mendakwa mereka kemungkinan diancam banjir buruk pada musim tengkujuh sekiranya kerajaan negeri membangunkan sebuah pulau berhadapan Pangkalan Kerepok.

Kata mereka pulau seluas 404.7 hektar yang terletak di seberang Sungai Kelantan bermula dari Kampung Cina sehingga Kampung Kijang, Kota Bharu dibangunkan sekarang.

Timbalan Menteri Besar berkata, setiap pembangunan yang dirancang terlebih dahulu diambil kira aliran dan paras air termasuk ekologi sungai.

“Kalau nak dikira banjir besar direkod pada 1926 dan 2004, tetapi selepas kerja-kerja mendalamkan Sungai Kelantan dilakukan tidak ada lagi banjir besar yang melanda sekarang,” ujarnya.

Katanya juga kerajaan negeri turut mengambil pandangan semua pihak sebelum projek diluluskan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran.

No comments: