Wednesday, August 29, 2012

Lebuh raya: Rakyat tahu Pusat sisih Kelantan


KOTA BHARU: Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata rakyat Kelantan sudah arif dengan tindakan menyisihkan mereka dari arus pembangunan oleh pihak Persekutuan selama ini.
Bahkan beliau mendakwa tindakan menindas dan menganaktirikan  Kelantan  itu adalah kerana dendam politik pihak berkenaan.

Ini kerana bagi mereka, katanya tidak guna membantu Kelantan kerana rakyat negeri ini tetap memilih PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri mengulas cadangan pihak tertentu yang mahu menjadikan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang sebagai agenda utama antara manifesto parti pada Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU13).

Takiyuddin ditemui pemberita pada sidang media sempena Pesta Makanan dan Buah-Buahan Kelantan 2012, Dataran Cintawangsa, Kuala Krai, di sini petang semalam.

Katanya, lebuh raya bukan satu-satunya ‘janji’ pihak berkenaan, bahkan apabila Kerajaan Kelantan hendak membina stadium, mereka mahu membinanya juga.

“Kita nak buat lebuh raya, dia kata nak buat lebuh raya juga. Jadi saya berkeyakinan penuh, rakyat Kelantan memang sudah tidak makan dengan janji-janji politik kosong mereka.

“Kalau betul-betul mereka hendak membina lebuh raya tersebut, kenapa semasa Kerajaan Umno-Barisan Nasional memerintah Kelantan dahulu, tidak dibina, bahkan (rancangan) lebuh raya di Kelantan itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) dahulu lagi dengan peruntukan kira-kira RM500 juta.

“Masa itu BN memerintah di Kelantan ini, kenapa lebuh raya tidak buat juga?” tanya beliau.

Oleh sebab itu, katanya sehingga kini Kelantan satu-satunya negeri yang tidak ada lebuh raya.

Namun, tegasnya Kerajaan Kelantan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak membina lebuh raya itu.

Katanya, ini kerana diketahui bidang kuasa untuk membina lebuh raya itu adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Cuma baru-baru ini kita cuba menonjolkan isu betapa kita perlukan lebuh raya ini, bahkan kalau perlu sampai kepada peringkat kita buat sendiri, maka kena buat sendirilah lantaran betapa perlunya kepada lebuh raya itu.

Kata Takiyuddin, sekiranya BN sebagai parti yang memerintah di peringkat Persekutuan melaksanakan tanggjungjawabnya di bawah (peruntukan) Perlembagaan, khususnya dalam konteks pembinaan lebuh raya itu.

Ini, ujarnya kerana pembinaan lebuh raya di mana-mana negeri adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Dan ini telah ditulis di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan,” ujar Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang.

No comments: