Wednesday, August 29, 2012

Rakyat luntur semangat sambut Merdeka

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak menolak kemungkinan sikap kerajaan BN menerapkan politik kepartian dalam sambutan Hari Kemerdekaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi punca lunturnya semangat rakyat menyambutnya.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, hasil pemantauan pihaknya, rakyat seolah-olah tidak berminat mengibarkan jalur gemilang di seluruh negara walaupun negara kini telah 55 tahun merdeka.

“Kami merasakan hilangnya semangat mengibarkan jalur gemilang ini berikutan cara dan pendekatan Umno-BN yang menyebabkan rakyat mula sedar bahawa sambutan kemerdekaan negera ini seolah-olah menyampaikan mesej untuk BN terus memerintah negara sahaja.

“Bahkan dalam sejarah apabila tema sambutan kemerdekaan negara kali ini mengambil tema daripada Umno iaitu ‘Janji Ditetapi’,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sambutan 'suam' dari rakyat itu sebagai manifestasi kekecewaan mereka terhadap pemerintahan BN selama ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu juga melihat banyak lagi kelemahan BN walaupun rakyat telah memberikan ruang memerintah sekian lama.

“Rakyat perlukan semangat baru untuk membina negara yang semangkin hari semangkin terhakis," katanya.

Ujar beliau, tiupan semangat baru perlu diberikan kepada rakyat bagi membangunkan negara mengikut lanskap kemajuan dan keharmonian serta kebebasan daripada sistem penjajahan yang selama ini masih membelenggu rakyat tanpa disedari.

“Saya menyeru kepada rakyat khususnya orang muda agar kibarkan jalur gemilang demi menunjukkan semangat cintakan negara serta membuat satu perubahan penting bagi negara kita di masa hadapan dan untuk generasi yang akan datang demi negara tercinta,” tegas beliau

No comments: