Wednesday, October 31, 2012

Pemuda PAS gesa OIC tegas tangani konflik Syria


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang sudah berlarutan hampir 23 bulan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh askar regim Basyar Al Assad.

"OIC tidak boleh hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha.

"Umat Islam mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

DPPM juga, katanya,  mengutuk keras tindakan Basyar Al Asad yang membunuh rakyatnya sendiri melalui operasi serangan udara yang disasarkan ke atas orang awam.

Tindakan seperti ini tidak boleh dimaafkan sama sekali dan Basyar wajar dihadapkan ke tribunal perang melalui mahkamah antarabangsa.

"Sesungguhnya tidak ada tindakan yang lebih kejam dilakukan oleh seseorang diktator melainkan membunuh rakyat sendiri hanya semata-mata mahu mengekalkan kuasanya," kata beliau.

Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam.
Raja Ahmad (gambar) yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini.

"DPPM menegaskan, hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing.

"Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Jordan yang kian bertambah.

No comments: