(Dr Syed Azman bergambar dengan wajah-wajah muram anak mangsa keganasan di Syria)
IDLIB (Turki): PAS adalah antara badan awal yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa kekejaman Bashar Al Assad terhadap rakyatnya di Syria.
Wakil rasmi PAS iaitu Penolong Setiausaha Agong, Dr. Syed Azman Azman telah menjejakkan kaki ke bandar Idlib yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi menghulurkan bantuan terus bagi pihak Pas kepada ribuan pelarian Syria disana.
Itu adalah misi kedua beliau bersama-sama pasukan perubatan dari Eropah yang berjaya masuk ke bandar Idlib dengan bantuan penduduk tempatan selepas berlakunya konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.
Tidak dapat digambarkan bertapa sedihnya melihat bagaimana bandar yang sebelum ini aman dan damai ini kini menjadi medan pertempuran berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa.
Sebahagian dari rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta bangunan kedai kini telah musnah akibat dari bedilan berterusan tentera rejim Assad dengan menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter.
Adalah dianggarkan lebih dari 200,000 ribu penduduk Idlib kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bedilan dan serangan setiap hari dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian.
Mereka juga menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad.
Sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan yang dikendalikan oleh pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin Syria.
Sementara itu sebahagian dari penduduk Idlib yang sempat di temui, melahirkan rasa terimakasih mereka di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi membantu meringankan bebanan yang di hadapi oleh mereka.
Bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu.
Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS.
Usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun, kata Dr Syed Azman.
"Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka," katanya.
Kepada yang ingin memberikan sumbangan kepada rakyat Syria, bolehlah terus disalurkan kepada; Maybank, atas nama Parti Islam SeMalaysia, akaun no. 564070703248.
No comments:
Post a Comment