Monday, April 09, 2012

Maik diharap dapat lestari sistem tadbir urus


KOTA BHARU, 8 April:  Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Abdul Aziz Nik Mat percaya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pada usia 100 tahun dianggap cukup matang, bahkan mampu menjadi contoh kepada Majlis-Majlis Agama Islam yang lain.

Beliau menyatakan demikian dalam perutusan sempena perayaan tersebut, semalam.

“Maik telah menjalankan peranan dan fungsinya dengan baik dan cemerlang terutama dalam hal ehwal agama Islam di Kelantan,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap pada masa akan datang Maik dapat melestarikan sistem tadbir urusnya dengan menambah baik sistem sedia ada di samping melaksanakan pembaharuan yang boleh dicontohi semua peringkat.

Semalam, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan berangkat menyempurnakan upacara Majlis Perasmian Program Cakna Wanita dan Kanak-Kanak di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji dekat sini.

(Gambar: Tengku Muhammad Fa-Iz Petra menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima bantuan Maik.)

Program bertema Wanita Pemangkin Kesejahteraan Keluarga itu diadakan sempena Majlis Perayaan Ulangtahun ke-100 Tahun Penubuhan Maik.

Turut berangkat Tengku Amalin A’ishah Putri binti Sultan Ismail Petra.

Hadir sama Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd. Rahman.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Datuk Tengku Rozan binti Almarhum Sultan Yahya Petra dan Datuk Tengku Salwani binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra.

Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri Mohd Faudzi Che Mamat, Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan timbalannya Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata sempena ulangtahun MAIK itu pengirisan Program Cakna Wanita dan Kanak-Kanak diadakan.

“Ini bertujuan meningkat dan merealisasikan kegiatan amal kebajikan, membantu masyarakat di samping memberi peluang kepada kaum wanita, ibu tunggal dan kanak-kanak.

“Bahkan memberi peluang kepda golonga ini mendapatkan informasi mengenai peluang perniagaan, maklumat kesihatan dan kekeluargaan.

“Istimewa program Demontrasi Masakan Menu Sihat Amalan Rasulullah saw bersama Master Chef Sabri Hassan.

Turut diadakan Seminar Ibu Cemerlang Keluarga Gemilang, Seminar Kesedaran Kanser dan Seminar Wanita dan Kepenggunaan.

Turut diadakan Bicara Wanita: “Aurat, Fesyen dan Tanggungjawab” bersama Ustazah Zawiah Hassan dan selebriti Nora.

Perayaan bermula 7 hingga 11 April  itu diserikan dengan 63 gerai jualan dan booth pameran mulai 9.00 pagi hingga 6.00 petang yang turut dijayakan usahawan penerima bantuan Maik, usahawan halal dan agensi kerajaan.

No comments: