Sunday, April 15, 2012

Parti ajaran sesat: Pemuda PAS sedia muzakarah



(Nasrudin....sedia bermuzakarah dan buat road show)

KUALA LUMPUR, 14 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersedia untuk menerima cabaran mana-mana pihak dari Umno  untuk bermuzakarah dalam isu  PAS: parti ajaran sesat yang sedang dipropagandakan oleh Umno Terengganu.

Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, Umno sengaja menciptakan propaganda itu dan ia tidak perlu diperdebatkan sebaliknya perlu bermuzakarah.

"Kita tidak mahu cabar Umno berdebat dalam isu ini kerana tidak 'padan' sebab Umno sengaja cipta isu ini," katanya kepada media petang tadi.

Malah katanya, pada tahun 1984 sudah timbul isu kafir mengkafir waktu itu PAS anjurkan muzakarah dengan Umno akhirnya dibatalkan kerana Umno tidak mahu bersemuka dengan PAS.

"Kita cabar Umno kali ini, kalau berani kita bermuzakarah apa yang mereka bangkitkan, melalui ini kita tahu siapa yang sesat sebenarnya," kata beliau.

Malah katanya, DPPM akan mengadakan 'road show' seluruh negara untuk menangkis tohmahan jahat Umno BN yang cuba memburuk-burukan PAS.

"Umno sepatutnya sedar propaganda yang sengaja diciptanya itu telah memakan diri mereka sendiri apabila, rata-rata rakyat negeri itu mula menyampah dengan politik kotor Umno ," katanya.

Katanya PAS juga boleh menjawab segala tohmahan tersebut dengan platform ilmiah melalui penerbitan buku 'Siapa Yang Sesat?' yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, program “Pas: Parti Ajaran Sesat (P:PAS)” yang bermula di Terengganu semalam akan diteruskan ke seluruh negara.

Beliau menjelaskan program P:PAS secara besar-besaran akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Program P:PAS tidak hanya setakat di Terengganu, tetapi kita akan bawa ke seluruh negara. Kita akan adakan perhimpunan besar-besaran di PWTC lepas ni,” katanya.

Ahmad, ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal pada Rabu lepas, dilaporkan berkata, perjuangan Pas kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam sebenar dan menyifatkan Pas sebagai "parti ajaran sesat".

No comments: