KOTA BHARU: Biar pun ada pihak mendakwa Kelantan
tidak membangun, namun laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015)
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan mengatasi
peringkat negara.
KDNK Kelantan 2012 dijangka meningkat kepada RM11,144 juta dengan
kadar pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus, sedangkan pertumbuhan Malaysia
pada tahun sama pada kadar 4 hingga 5 peratus.
Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada KDNK Kelantan
pada 2010 iaitu sebanyak 73.8 peratus, sektor pertanian (19.4 peratus)
dan pembuatan (4.7 peratus).
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, KDNK
Kelantan pada 2012 bagi sektor perkhidmatan dijangka meningkat kepada
80.4 peratus.
“Kerajaan berbelanja secara bijaksana, berhemah dan adil serta
mengutamakan kebajikan kepada rakyat berdasar keapda sumber sebenar,”
katanya pada ucapan Belanjawan Kelantan 2013 pada persidangan Dun hari
ini.
Teks belanjawan tersebut dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.
Teras Belanjawan Kelantan 2013 yang bertema Bajet Negeri Berkebajikan
menumpu kepada merancakkan pembangunan ekonomi untuk semua rakyat,
memperkasa pembangunan insan berteraskan Islam.
Selain itu pembelaan golongan daif, miskin, kurang upaya, anak yatim,
armalah dan warga emas serta memperkukuhkan keupayaan institusi dan
badan pelaksana.
Menteri Besar berkata, selaras komitmen kerajaan menjamin
kesejahteraan dan kebajikan rakyat, program sosioekonomi akan
dimantapkan.
Kemudahan infrastruktur
Katanya, sejumlah RM153.37 juta diperuntukan di bawah program
penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat termasuk pembinaan
jalan dan jambatan baru di samping memperluaskan sistem rangkaian
jalan.
Sebanyak RM20 juta disediakan kepada JKR dan RM7 juta di bawah
Pejabat Pembangunan Negeri untuk melaksanakan projek di bawah program
kesejahteraan rakyat.
Antaranya pembinaan lorong memotong jalan Kota Bharu-Kuala Krai
sebanyak RM2 juta, pembinaan jambatan Sungai Manal, Tanah Merah (RM2.2
juta), pembinaan jambatan Sungai Kerak, Machang (RM2.1 juta).
Pembinaan jambatan Kampung Kuau (RM2.5 juta), pembinaan jambatan
konkrit di Sungai Sat dan jalan Kampung Kelaweh ke Maka, Machang (RM6.01
juta), jambatan Sungai Kemasin di Pengkalan China, Bachok (RM2.6 juta).
Jambatan Pulau Kundor, Kota Bharu (RM2.1 juta) dan jambatan merentasi
landasan keretapi di Bandar Pasir Mas (Fasa II) - RM4.82 juta.
Bagi pembangunan rohani dan sahsiah kerajaan negeri menyediakan
peruntukan bagi mengadakan kursus, bengkel latihan dan ceramah bagi
meningkatkan kualiti modal insan rakyat khususnya golongan muda.
Pembinaan masjid
Sebanyak RM3 juta disediakan bagi projek pembinaan dan pembaikian masjid-masjid di seluruh negeri.
Antara masjid yang siap dibina pada 2012 iaitu Masjid Keputeraan
Paloh 2, Gua Musang dengan kos sebanyak RM3 juta dan Masjid Keputeraan
Lojing (RM3.89 juta). Manakala Masjid Chenulang, Kuala Krai (RM500,000)
dijangka siap tahun depan.
Peruntukan sebanyak RM3 juta bagi program-program pembinaan insan bagi pembangunan modal insan generasi muda.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Yayasan Islam Kelantan (Yik)
mendapat peruntukan paling banyak iaitu RM72 juta. Yik mengurus 91
sekolah agama termasuk dua Maahad Tahfiz Quran dan empat Maahad Tahfiz
Sains.
Bajet 2013 juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi
projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf sekolah berkenaan.
“Yik merancang membina Maahad Muhammadi Sains (Lelaki) di Pengkalan
Chepa dianggar melibatkan kos sebanyak RM12 juta. Pejabat Yik juga akan
dibina di Tunjung dengan kos sebanyak RM8 juta,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment