Tuesday, March 13, 2012

Shahrizat sahajakah yang berhenti? Seorang lagi?


Shahrizat Jalil mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan hanya pada 8hb April nanti apabila penggal keahliannya di Dewan Senat tamat tempohnya. Perletakkan jawatan ini sepatutnya sudah diambilnya sebaik sahaja terbongkar salahlaku keluarganya menyalahgunakan wang pinjaman dari kerajaan untuk mengendalikan perniagaan NFC itu. Tetapi setidak-tidaknya beliau mengambil juga tindakan untuk melepaskan jawatan kabinet yang dipegangnya melalui pintu belakang itu.
Walaupun beliau pada mulanya berusaha untuk mengekalkan jawatan itu, tetapi etika politiknya yang nyata sangat menjengkelkan itu tidak berdaya beliau untuk mempertahankan jawatan yang amat beliau sayangi itu. Sesungguhnya itu sahaja jalan yang tinggal untuknya lakukan kerana kesalahan etikanya sangat menjelikkan kerana suaminya itu mendapat pinjaman semudah itu kerana kedudukan Shahrizat didalam kabinet negara.

Seperti yang saya nyatakan dahulu, jika Shahrizat itu hanya seorang bidan kampung, Salleh tidak mungkin mendapat pinjaman dengan menggunakan wang rakyat dengan semudah itu. Semua keistimewaan-keistimewaan yang didapati oleh ahli keluarga pemimpin ini telah banyak memerah wang dan harta rakyat. Tetapi Shahrizat ini malang sedikit kerana beliau tidak mempunyai kuasa dan pengaruh sepenuhnya.

Seandainya beliau seorang Perdana Menteri beliau tidak akan terpaksa meletakkan jawatan kerana ada kes-kes yang lebih besar dilakukan oleh pemimpin yang lebih besar dari Sharizat itu tidak diambil tindakan sehingga hari ini. Perbezaan diantara Shahrizat dan yang lain ialah Shahrizat tidak pandai menyorokkan perlakuan beliau dan keluarga beliau.

Jumlah yang melibatkan RM250 juta itu amat besar tetapi jumlah RM1.8 billion yang dipergunakan secara ‘direct’ dari wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak seorang pemimpin besar pada tahun 1998 dahulu tidak diambil tindakan sampai kehari ini. Sebab apa? Sebabnya ia dilakukan oleh seorang Perdana Menteri semasa itu. Banyak lagi perkara-perkara seperti ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dalam BN selama ini dan ianya masih dilakukan mereka.

Masing-masing saling membantu diantara satu dengan lain untuk menutup ‘barang curi’ masing-masing kerana semuanya melakukan perkara-perkara yang sama. “Lu jaga gua, gua jaga lu’; itulah kaedahnya. Hanya kes Shahrizat ini diketahui oleh Ketua Audit Negara dan pihak pembangkang secara terperinci. Untuk memecahkan kegiatan ala ‘cartel’ dikalangan pimpinan BN inilah merupakan satu usaha yang amat susah kerana mereka mempunyai kuasa yang dipergunakan habis-habisan untuk mempertahankan salahlaku mereka ini.

Sekarang Shahrizat telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dari kerajaan kerana kesilapan dan kesalahan beliau. Apa yang kita tunggu sekarang ialah untuk melihat samada ada-kah tidak sifat ‘accountability’ dari pimpinan atasan yang memberikan kelulusan kepada projek biayaan kerajaan NFC ini. Kita hendak juga melihat samada Menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek yang menjijikkan ini dahulu.. Menteri Pertanian semasa itu saya sudah lupa siapa dia……ada orang kata dia dah jadi Timbalan Perdana Menteri…

Adakah Menteri ini akan turut meletakkan jawatan kerana kalau mengikut etika kepimpinan negara maju, Menteri yang bertanggungjawab meluluskannya juga wajar meletakkan jawatan. Ini merupakan asas kepada semangat demokrasi yang beretika dan Menteri yang meluluskan projek ini semasa itu mesti mengambil ‘accountability’ kepada skandal kewangan yang dilakukan oleh NFC ini.

Menteri ini boleh memilih untuk tidak mengambil ‘accountability’ terhadap isu ini tetapi nanti janganlah hendak beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju pula. Ini adalah isu besar jika benar kita hendak mencapai ketaraf negara maju. Negara maju yang berkembang pesat mesti diikuti dengan etika kepimpinan yang tinggi. Kalau tidak persepsi ramai yang menganggap Malaysia sebagai ‘Zimbabwe in different name’ itu tidak akan berjaya kita hakiskan.

Pada tahun 2007 yang lalu seorang menteri Britain yang buta penglihatannya bernama Blankert (ejaan nama tak pasti) telah meletakkan jawatannya sebagai menteri dalam negeri kerana kesilapan kecil tetapi oleh kerana ia menjejaskan etika kepimpinannya maka beliau meletakkan jawatan dari menganggotai kabinet Britain.

Kesalahannya ialah kerana mempercepatkan proses permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk orang gajinya. Itu sahaja kesalahannya. Tetapi itu jelas menjejaskan etika kepimpinan negara. Maka beliau mengambil masa hanya tiga empat hari sahaja untuk mengambil keputusan meletakkan jawatannya. Menteri Britain itu tidak mengambil masa berbulan-bulan utuk mengambil keputusan untuk berhenti seperti yang dilakukan oleh Shahrizat.

Dengan keputusan Shahrizat untuk berhenti itu ia bermakna Shahrizat mengakui kesalahannya. Jika Shahrizat mengaku kesilapan atau kesalahannya maka adalah ‘natural’ menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek NFC ini juga mengambil langkah yang sama, iaitu berhenti sahaja dan mengikut langkah Shahrizat itu. Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana mereka tidak mahu menerima asas-asas perlu untuk menempah tempat untuk meletakkan negara kepada kategori negara maju kerana meletakkan jawatan kerana isu ini dianggap sebagai perkara yang tidak munasabah bagi mereka.

Begitulah tingginya etika kepimpinan negara maju dan jika kita mahu mengambil iktibar dari tindakan ahli jemaah kabinet Britain ini, itu merupakan permulaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju dengan ketinggian etika kepimpinannya. Kalaulah apa yang dilakukan oleh pimpinan kita itu dilakukan di Britain kerajaan kita sudah lama dikuburkan oleh rakyat. Tetapi untungnya pimpinan rasuah kita ini ialah kerana rakyat telah dididik untuk menerima sahaja apa yang dilakukan oleh pimpinan yang tidak bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Kerajaan negara-negara maju ini menjadikan etika kepimpinan sebagai elemen terpenting dalam pentadbiran kerajaan. Ini ialah kerana yang hendak dijaga mereka bukannya jawatan mereka tetapi untung nasib negara mereka pada masa-masa yang akan datang. Tetapi disini pimpinan kita lebih mementingkan kuasa sahaja, tidak kira samada mereka itu berguna kepada negara dalam jangka masa yang panjang.

Kalau tidak, tidaklah kita terdengar kata-kata seperti, “kita akan pertahankan Putrajaya dengan cara apa sekali pun” kata Najib pada suatu ketika dahulu. Kata-kata ini menonjolkan satu sikap yang amat negatif kepada sistem demokrasi negara. Sikap kuno ini lah yang menyebabkan negara kucar kacir, bukannya oleh sistem demokrasi itu sendiri.

Kepada BN demokrasi itu bermakna, kemenangan hanya hak mutlak BN, bukannya untuk mengikut selera rakyat yang mengundi. BN kini menggunakan kumpulan pengacau pula. Tugasnya hanyalah untuk mengganggu majlis-majlis pihak PR. Itu merupakan tanda-tanda ‘desperation’ yang ada didalam pemikiran pihak BN khususnya UMNO.

Dua malam yang lepas saya menjadi penceramah jemputan bersama dengan TS Khalid Ibrahim di Seri Menanti dimana sekumpulan 20 orang penyokong UMNO mengganggu ceramah dan majlis itu tanpa segan dan silu selama 15 minit.

Berkat kesabaran pihak kami, mereka telah dapat diusir dari majlis itu. Dalam hati saya, tidak dapat saya menghilangkan persepsi dan keyakinan saya yang tindakan itu merupakan tindakan pihak pemerintah yang begitu fakir nilai kepimpinan mereka. Apabila sokongan merosot mereka mengambil tindakan yang tidak beradab dan bersopan.

Dari kumpulan inilah yang bergegar-gegar hendak jadikan negara kita negara maju tetapi tindakan kumpulan ini membayangkan yang kemajuan yang dijanjikan itu tidak mungkin tercapai sampai bila-bila. Segala pelan transformasi Najib hanya tinggal pelan sahaja. Ia tidak akan kemana…seperti dulu juga. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Muslimat PAS mahu Shahrizat pertahankan diri


KUALA LUMPUR, 12 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempertikai keputusan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tanpa mengemukakan bukti bahawa beliau tidak bersalah.

Timbalan Ketua DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, sekiranya Shahrizat benar-benar tidak terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFCorp), beliau perlu mempertahankan diri.

"Memang dari segi siasatan SPRM sampai sekarang belum ada apa-apa keputusan. Beliau meletakkan jawatan atas desakan. Sekiranya dia yakin yang dia tidak bersalah dan tak ada kena mengena dengan dana NFC, pertahankan diri.

"Kalau saya, saya akan pertahankan diri. kalau saya tidak bersalah, pantang orang sebut saya bersalah," kata beliau ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, hanya dengan mengatakan Shahrizat tidak bersalah, namun ingin mengundurkan diri demi kebaikan Umno BN, itu bukan pembelaan diri yang baik.

"Saya juga bersimpati (terhadap Shahrizat) kerana apabila dakwaan-dakwaan ini tidak dipertikai atau tidak ditolak dengan bukti-bukti yang kukuh, maka ia akan tinggal sebagai dakwaan dan Shahrizat tidak ada peluang membela diri.

"Bagi saya tidak adil seseorang itu tidak diberi peluang membela diri dan setakat mengatakan dia tidak ada kena mengena dengan perkara ini, itu bukan satu pembelaan diri yang baik," katanya.

Sehubungan itu ujar beliau, perkara ini harus dijadikan iktibar oleh semua pihak sama ada kerajaan atau Pakatan Rakyat iaitu jawatan seseorang itu dalam kerajaan tidak boleh diambil kesempatan oleh ahli keluarga untuk mendapatkan apa-apa projek.

"Dari segi undang-undang dana itu diberi secara sah oleh kementerian. Sekarang ini persoalannya ialah kenapa diberi kepada keluarga Shahrizat dan dana itu digunakan untuk apa?

"Jadi sebagai peringatan kepada semua menteri atau bakal menteri atau semua yang memegang jawatan kerajaan, kita tidak boleh ada kepentingan ataupun keluarga kita sendiri pun tidak boleh mendapat peluang ini melalui jawatan yang kita pegang.

"Kalau seseorang menteri boleh mengatakan sesuatu kontrak itu diberi tidak ada kena mengena dengan dia, dia kena beri bukti.

"Ini bukan sahaja untuk kerajaan BN tapi untuk mana-mana kerajaan hatta Pakatan Rakyat sekalipun, setiap penjawat mesti sedia berkorban bahawa ahli keluarga tidak boleh dapat manfaat daripada jawatannya," tegasnya.

Semalam, Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita BN.

Monday, March 12, 2012

Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga


Tindakan Kerajaan BN Sabah yang di dalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.

Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.

Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya di tahan dan tidak di benarkan masuk ke Sabah?
Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!

Saya di kawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!

Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan di hantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam tadi.

Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.

Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim Musa Aman dan Taib Mahmod dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.

Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang di duduki dan di usahakan penduduk puluhan tahun di rampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun di sodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dll.

Peliknya; kawasan yang dirampas di beri pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.

Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun di tangkap, dipukul dan di penjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.

Saya mengetuai Lajnah(Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.

Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.
Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi!
Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.

Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan political will pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.

Himpunan 123

Pagi ini Himpunan 123 Bangkit di adakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dll dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam di layan begitu buruk oleh Musa Aman.

Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka di dirampas untuk mengiringi pimpinan Ngo dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.

Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?
Mana pergi Musa Aman atau sekurang2nya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan Bn!
Apa salahnya di bawa masuk wakil2 Ngo dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri?
Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dulu isi hati dan derita rakyat?

Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang di alami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Musa Aman. Mana slogan ' Rakyat di dahulukan, Pencapaian di utamakan?

Perjuangan rakyat akan di teruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'

Kami tidak akan putus harapan dan patah semangat. Regim Musa Aman wajib di tumbangkan!
-------------------------------------------
Penulis, AJK PAS Pusat,  telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.

Adakah wanita penentu generasi hari esok?


Galuran susur sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA)


Wanita merupakan lebih separuh daripada jumlah penduduk negara ini yang kini telahpun mencecah lebih kurang 28 juta orang. Demikian pula, wanita juga merupakan separuh daripada populasi dan penghuni bumi. Pengiktirafan ke atas wanita telah mendorong  persetujuan PBB pada tahun 1975 untuk menetapkan bahawa tanggal 8 Mac setiap tahun itu sebagai tarikh rasmi bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA), iaitu setelah HWA disambut buat kali yang ke-64!

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa tanggal 8 Mac 2012 baru-baru ini merupakan sambutan HWA untuk kali yang ke 101 tahun. Sekaligus membawa maksud usaha pemberdayaan wanita dari kacamata Barat (termasuk wilayah pengaruh jajahannya) telah dilipatkaligandakan secara terancang lebih kurang satu abad yang lalu, sekalipun kelihatannya agak terkemudian berbanding pengiktirafan ke atas wanita yang telah diberikan Islam, iaitu lebih kurang 1400 tahun yang silam.

Kali pertama HWA ini disambut ialah pada 19 Mac 1911 oleh Austria, Denmark, German dan Switzerland. Terdahulu, ideanya bermula pada tahun 1910 dalam satu Mesyuarat Pertubuhan Sosial Antarabangsa yang kemudiannya menyaksikan sambutan pada tahun berikutnya melibatkan lebih kurang 1 juta orang wanita, dengan dijayakan bersama-sama dengan kaum lelaki.

Di peringkat negara kita sendiri, HWA telah disambut kali pertamanya pada tahun 1975 dan sebagai rakaman sejarah, negara pada 8 Mac 1975 telah melancarkan Setem Kenang-Kenangan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Ironinya, pada masa yang sama terdapat satu lagi tarikh untuk Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia (dalam negara) iaitu pada tanggal 25 Ogos setiap tahun. Malangnya, tarikh ini adalah hanya mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu Umno yang sekaligus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing.

Nah, ini antara cabaran kita dalam menyatukan kepelbagaian wanita itu agar upaya duduk semeja bagi membincangkan perihal paling butuh dan paling perlu demi kelangsungan Generasi Hari Esok, yang nantinya bisa belajar bagaimana untuk terus memacu kebangkitan dan kemajuan meski dalam wadah yang cukup berbeda! Iyya, perbedaan itu sesungguhnya tidak wajar merencat apa jua usaha ke arah yang lebih baik, apatah lagi jika kita meletakkan kepentingan kelangsungan warga manusia dan martabat kemuliaan wanita itu sendiri di neraca kewajarannya.

Siapa wanita hari ini dan apa cabarannya?

Bila kita bercakap tentang siapakah wanita itu pada hari ini, maka kita mesti jujur dalam menyatakan siapakah sebenarnya wanita itu. Kita tidak boleh bersikap, bila bicara sahaja soal wanita maka kita terperangkap dalam fahaman wanita itu adalah kita semata-mata. Jika dengan andaian itu, maka tentulah kita sebenarnya gagal untuk sejujurnya memahami, mengenali dan menyantuni segala persoalan yang berhubungkait langsung dengan kehidupan realitas para wanita, sekaligus segala yang berimpak daripada kewujudannya.

Hakikatnya, wanita pada hari ini merupakan entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial, ekonomi dan politik. Ada yang berpendidikan rendah, menengah, tinggi hatta masih ada juga yang buta huruf khususnya di kawasan kampung, desa dan pedalaman terpencil. Ada yang suri rumah, petani, nelayan, peneroka, peniaga hatta mereka yang berkerjaya dengan profesion-profesion tertentu seperti peguam, doktor, jurutera, ahli politik, aktivis Sosial dan seumpamanya.

Ada juga yang akibat desakan hidup mereka terpaksa menjadi pelacur, GRO dan menjual maruah samada untuk meneruskan hidup, tidak kurang juga bagi mengejar status  dan hidup mewah. Ada yang merupakan penagih dadah, penghidap HIV, mangsa dera, mangsa keganasan, mangsa perceraian, gantung tidak bertali, ditinggalkan suami tanpa nafkah (di mana 3.4 juta wanita kita merupakan ibu tunggal), dirogol, dibunuh, dijual dan dilacur  oleh sindiket pemerdagangan manusia yang kita difahamkan Malaysia merupakan salah sebuah negara paling berisiko dengan masalah ini.

Ada yang hidup bebas merdeka, ada juga yang hidup “terpenjara”,  terpaksa menjadi “hamba” khususnya kepada sebilangan lelaki tidak bertanggungjawab.  Ada yang terperangkap dengan “cinta nafsu”, akhirnya kecundang di bawah sinaran neon kota kosmopolitan lantas terpalit zina  yang kemudiannya pula menjadi pembunuh bayi-bayi mereka yang tidak berdosa.

Wajar juga kita menginsafi dapatan daripada statistik rasmi negara bahawa setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga akan runtuh (berlaku perceraian), setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari 4 orang kanak-kanak akan hilang, setiap 3 orang daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah melakukan hubungan seks haram dan pelbagai data dan statistik yang cukup menggerunkan kita semua!

Nah, rencam bukan? Inilah realiti wanita kita pada hari ini.  Justeru, kita semua kaum wanita seharusnya sedar  yang pelbagai cabaran besar sedang menunggu kita baik pada masa kini hatta pada masa akan datang. Bahkan sepanjang tarikan dan hembusan nafas kita, juga pada setiap derap dan langkah kita adalah perjuangan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan juga di akhirat kelak.

Apatah lagi tanggungjawab kita bagi memastikan kelangsungan Generasi Hari Esok, maka mahu tidak mahu, suka tidak suka - WAJIB untuk kita berubah dan berusaha sedaya mungkin memperbaiki dan memperelokkannya ; bukan hanya dengan perasaan, bukan lagi hanya dengan perkataan, tetapi kini WAJIB BANGKIT merubahnya dengan TANGAN dan perbuatan! 18 Mac 2012 insya Allah pastikan kita semua menjadi penyumbang kepada suatu Kebangkitan Baru: WANITA SUARA PERUBAHAN!

Keyakinan kita, insya Allah, setiap perjuangan yang benar itu betapa ditekan tetap ia menjalar. Tanpa dibaja kan tetap ia mekar. Tanpa udara sekalipun kan tetap ianya segar. Medium dan seni perjuangan itu luas dakwahnya. Jangan sama sekali disempitkan sesempit aqal yang tumbesarannya bonsai dalam asuhan Regim!

Rumusan saya, cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak.  Maka adunan kecekapan, kemahiran, kebijaksanaan, kesabaran dan kekentalan semangat hatta seni dalam kepimpinan itu kini suatu yang wajib dimiliki oleh setiap diri di kalangan kita para pejuang wanita yang insya Allah nantinya akan memastikan kita  berjaya mengatasi setiap dugaan, ujian dan rintangan. Tanpa segala keinsafan, kesedaran dan sifat-sifat ini, kita tidak mungkin upaya menjadi pencorak dan penentu Generasi yang lebih baik untuk negara serta masyarakat kita pada hari esok.

Bangkitlah Wahai Adik-Adikku Wanita-Wanita Muda.

Bangkitlah Wahai Seluruh Denyut Nadi Dan Srikandi Negara.

Jangan Biarkan Langkahmu Hanya Terhenti Di Rumah! Sungguh, Ummah Sedang Menanti Senimu Dalam Berdakwah. Segala Derita Dan Sengsara Mereka Mesti Disembuh, Mesti Dirawat Dengan Segala Hikmah Dan Fatanah. HIDUP KEBANGKITAN BARU!

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Shahrizat undur tidak kembalikan RM250 juta


KUALA LUMPUR, 11 Mac: Biarpun menyambut baik pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri, namun PAS mengingatkan rakyat bahawa pengunduran itu tidak mampu mengembalikan semula wang yang dipinjam RM250 juta.

Naib Presdien PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengunduran Shahrizat yang hanya selepas tamat tempoh senator itu juga, tidak mampu memadamkan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang masih tidak ada sebarang penjelasan.

"(Datuk Seri) Najib tak sambung Shahrizat dengan harapan dapat buang beban yang ditanggung Umno BN.

"Tapi dengan letak jawatan sahaja, tak upaya memulangkan kembali wang rakyat RM250 juta yang dipinjam. Isu ini tetap jd beban kepada mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat hari ini yang mahu berundur sebagai menteri Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan April ini.

Beliau bagaimanapun akan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Beban beralih kepada Muhyiddin

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isu NFC bukan isu pribadi yang hanya melibatkan Shahrizat, tapi ia berkait soal integriti sebuah kerajaan.

Rakyat ujarnya masih menantikan penjelasan bagaimana dana ratusan juta itu boleh diberikan oleh kerajaan kepada syarikat milik keluarga Shahrizat yang diketahui tidak bepengalaman.

"Ini soal integriti kerajaan dan (Tan Sri) Muhyiddin juga bertanggungjawab kerana beliau menteri pertanian ketika itu yang mempengerusikan jawatankuasa pemilih yang memberikan projek itu kepada syarikat milik keluarga Shahrizat.

"Bersediakan Najib tubuh suruhanjaya diraja siasat timbalannya Muhyiddin," cabar Mahfuz.

PRU13: PAS Johor kemuka 3 calon DHPP


KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS Johor mengemukakan tiga nama calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kepada PAS Pusat untuk menentukan siapa yang akan bertanding dalam PRU13 nanti.

Menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar), nama-nama berkenaan sudah dihantar kepada PAS Pusat awal Januari lalu.

Tambahnya, salah seorang calon yang dipilih itu nanti akan mengisi kerusi yang pernah dipertandingkan pada pilihan raya 2008.

"Setakat ini kita hanya kemukakan satu kerusi untuk diberi kepada DHPP, dan terpulang pada PAS Pusat untuk memuuskan calon DHPP yang layak untuk kali ini,"katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya sama ada PAS Johor kemukakan calon dari kaum India atau Cina, Mahfodz berkata mereka cuba mencari dua calon berkenaan bagaimanapun sehingga kini cuma ada satu kaum sahaja.

Bagaimanapun katanya, langkah itu jelas membuktikan pimpinan Pas mempunyai hubungan erat bersama DHPP di negeri Johor sekali gus serius untuk mengecap kemenangan kerusi yang dipertandingkan.

“Saya yakin dengan hubungan erat antara pucuk pimpinan PAS Johor dengan DHPP negeri akan membolehkan kita (PR) khususnya PAS mengubah fikiran rakyat untuk bersama pakatan pembangkang sekali gus memenangi kerusi yang dipertandingkan dalam PRU13,” katanya.

Dalam PRU-12 lalu, PAS Johor meletakkan calon wanita, Kumutha Raman,  pemegang ijazah undang-undang dari Britain bertanding di Dun Tiram.

Pencalonan Kumutha itu membuktikan PAS turut memberi tempat kepada penyokong bukan Islam untuk turut mewakili parti itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional yang juga penasihat DHPP Dr Mujahid Yusof Rawa menyasarkan enam negeri meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya akan datang.

Negeri berkenaan ialah Selangor, Johor, Perak dan Kedah di samping Sarawak dan Sabah.

DHPP mempunyai keahlian seramai 20,000 orang merupakan pengukuhan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sejak tahun 2005.

Sunday, March 11, 2012

Negeri Kelantan Seindah Namamu: Oki Setiana Dewi

Tuduhan Mustapa Mohamed meleset lagi

KOTA BHARU, 11 Mac: Mungkin agak memalukan apabila seorang berjawatan menteri melemparkan tuduhan tak berasas dengan mendakwa ada tempat tiada bekalan air di bandar ini.

“Saya dimaklumkan peniaga di gerai Flat Buluh Kubu tidak mendapat bekalan air menyebabkan terpaksa menggunakan telaga boring,” kata Datuk Seri Mustapa Mohamed, seperti dilaporkan media hari ini.

Sedangkan maklumat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan sebanyak 327 akaun di Flat Buluh mendapat bekalan air yang mencukupi.

Pengurus Besarnya, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, jumlah penggunaan air di enam blok flat tersebut iaitu sebanyak 12,095 meter padu pada Febuari 2012.

“Flat Buluh Kubu ada enam blok bangunan dengan bilangan akaun sebanyak 327. Ini bermakna setiap akaun menggunakan sebanyak 37 m3 bagi tempoh tersebut.

“Malah paras air tangki bawah di blok ke-6 ialah 2.2 meter. Ini secara jelas menggambar air yang dibekalkan kepada pengguna di situ mencukupi bagi keperluan harian mereka,” katanya di sini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa ketiadaan bekalan air di Flat Buluh Kubu amat memalukan kerana ia terletak di tengah-tengah bandar.

Pada Febuari lalu Mustapa juga mendakwa pinjaman RM600 juta projek bekalan air yang dilulus kerajaan pusat tidak perlu dibayar balik, sedangkan AKSB sudah membayar pinjaman tersebut sejak 2008.

Ekoran kenyataan tersebut Pemuda PAS di Jeli membuat laporan polis terhadap pemimpin Umno terbabit kerana cuba membohongi rakyat Kelantan.

Hanapi juga berkata, tidak berbangkit sama sekali dakwaan Penasihat Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali kononnya berlaku penyelewengan dalam urus tadbir AKSB.

Katanya, dakwaan kononnya AKSB akan mengalami kerugian RM130 juta tidak berasaas kerana peruntukan tersebut merupakan projek air tidak berhasil (NRW) yang dijalankan sejak 2008.

“Peruntukan projek berkenaan dilulus kerajaan pusat melalui Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air bagi mengatasi NRW di Kelantan,” katanya.

Menurutnya projek tersebut termasuk menukar sebanyak 80,000 meter lama kepada meter pintar bagi memastikan ketepatan bacaan.

Kata beliau sudah menjadi peraturan bagi setiap operator air, meter lama yang berusia lebih tujuh tahun perlu ditukar memandangkan terdapat kandungan ion sehingga menyebabkan meter berkarat.

Katanya, meter lama yang berusia lebih tujuh tahun akan kehilangan ketepatan bacaan sehingga 40 peratus.

“Sehingga sekarang sebanyak 60,000 meter lama sudah ditukar. Projek NRW dijangka selesai pada Ogos hadapan. Dan selepas itu tempoh setahun diberi bagi kerja-kerja pemantauan.

“Selepas tempoh itulah baru kita dapat lihat kesannya bagi mengurangkan NRW ke tahap yang minimum,” ujarnya.

Anugerah Cakna Rakyat 2011

PRU13: 200,000 pemilih dimasukkan secara senyap


KUALA LUMPUR, 11 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan agar memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang benar-benar adil dan telus.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, apa yang diragui kini adalah sejumlah 200,000 senarai pemilih yang dakwanya dimasukkan secara senyap-senyap yang terdiri dari pada warga asing.

"Ini meragukan kita, inilah dikatakan ancaman kepada ketulusan yang dijanjikan itu. Ada parlimen peningkatan pengundi lebih 30 peratus, ini pertambahan luar biasa.

"Rakyat dah muak dengan segala penipuan yang kita dah lalui dalam 12 pilihan raya umum sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Sementara itu, timblannya, Dr Siti Mariah Mahmood pula berkata, jentera muslimat pada ketika ini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU 13.

Katanya, jentera mereka iaitu Halwa telah bergerak aktif di semua kawasan malah sudah mula membuka bilik gerakan.

Halwa katanya akan memberi fokus untuk membantu calon muslimat yang akan bertanding kelak.

"Kami akan bantu semua calon, akan buka bilik gerakan di semua kawasan yang muslimat bertanding," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Mengulas soal calon pula, Dr Mariah memberitahu 30 nama yang dihantar kepada pusat terdiri daripada pelbagai latar belakang dan 50 peratus daripadanya adalah golongan muda.

Jumlah 30 itu juga katanya adalah termasuk semua nama wakil rakyat muslimat sedia ada yang dirasakan masih mampu untuk memberi khidmat berdasarkan laporan kecemerlangan mereka.

Muslimat juga ujarnya mensasarkan bertanding di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami telah serahkan lebih 30 nama kepada pimpinan tertinggi, kami telah kenal pasti sampai ke peringkat kerusi pun.

"Kita juga telah mendapat persetujuan daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri," katanya.

Bawa isu Felda

Sementara itu, Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Md. Nawi berkata, isu penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) antara isu besar yang akan dibawa jentera muslimat kepada rakyat.

Sehubungan itu juga, mereka semalam mengadakan bengkel kepada jentera muslimat bagi memberi kefahaman berhubung isu tersebut.

"Saya percaya kalau isu ini difahami dengan baik, pengundi wanita yang dianggar 51 peratus akan buat kejutan.

“Isu Felda boleh memberi kesan kepada lanskap politik keseluruhan negara kita," katanya.

Sekitar Program Bicara Selebriti









Himpunan 10,000 wanita tuntut kerajaan bersih


KUALA LUMPUR, 11 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat akan bersama-sama badan NGO akan menganjurkan 'Himpunan 10,000 Wanita' bagi menuntut beberapa perkara daripada kerajaan.

Bertemakan 'menuntut kerajaan yang bersih', himpunan yang dijadual pada 18 Mac ini itu akan diadakan di Padang Astaka 1 Seksyen 14 Petaling Jaya, Selangor bermula jam 2 hingga 5 petang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

"Wanita melihat hari ini, antara krisis utama negara adalah kerajaan tidak bersih dan tidak adil.

"Sebagai simbol menuntut kerajaan yang bersih, kita akan pakai sarung tangan putih pada hari himpunan tersebut," katanya.

Menurutnya lagi, himpunan inisiatif NGO Gabungan Suara Wanita Untuk Perubahan itu akan menuntut enam perkara seperti berikut:

- Kerajaan yang bebas dari rasuah dan penyelewengan.

- Akta gaji minima, bukan dasar gaji minima.

- Kualiti hidup rakyat yang lebih baik.

- Hapuskan keganasan terhadap wanita.

- Membatalkan Akta Perhimpunan Aman.

- Pilihan raya bebas dan adil.

"Yang mana kita tahu tiga kali ganda wang hasil pendapatan negara telah tiris akibat rasuah dan penyelewangan," tambah Aiman.

Menurutnya lagi, perhimpunan wanita yang julung kali diadakan itu dibuat sempena sambutan hari wanita antarabangsa tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh wanita perihatin agar hadir bersama-sama pada hari perhimpunan tersebut.

Bantuan sekolah: Kenapa Felda beri runding terus?


KUALA LUMPUR, 10 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendakwa berlaku penyelewengan oleh Felda berhubung pembekalan kelengkapan sekolah kepada anak peneroka yang dibuat secara runding terus.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, ianya membabitkan bantuan kelengkapan dengan nilai RM185 bagi setiap murid yang berlumlah 15,000 orang.

Bantuan tersebut terdiri daripada 2 pasang pakaian seragam sekolah, beg sekolah dan sepasang kasut bagi setiap pelajar.

"Nilai keseluruhan kalau kita kira lebih kurang RM2.775 juta. Kita dapat maklumat ianya diberi secara runding terus tanpa ditender, kenapa runding terus, itu yang kita persoalkan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Sambil mendedahkan dokumen yang didakwa bukti penyelewengan itu, Mazlan mendakwa pegawai yang berkait dengan projek itu adalah Pegawai Khas kepada Pengerusi Felda iaitu Muhammad Zahid Md. Arip.

Mazlan turut mempersoal bagaimana pemilihan pelajar yang layak menerima bantuan itu dibuat di peringkat tanah-tanah rancangan.

"Kita buat survey, banyak Felda tak mengagihkan kelengkapan ini. Kita kira-kira sekurangnya mereka boleh buat untung RM1 juta untuk projek ini," kata Mazlan.

Sehubungan itu beliau menuntut Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad serta Pengerusi Yayasan Felda membuat penjelasan.

Konvensyen Kebangsaan

Pada sidang media sama, Mazlan turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan konvensyen kebangsaan membincangkan masa depan dan hala tuju Felda.

Konvensyen itu akan diadakan pada 22 April ini dan bakal menampilkan tokoh-tokoh berkaitan Felda bagi berkongsi pandangan.

Ianya termasuk bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, dan juga bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Raja Alias Raja Ali yang terkenal dengan jolokan arkitek Felda.

Konvensyen itu menurut Mazlan, turut akan membincangkan pro dan kontra penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Untuk tujuan itu katanya, konvemsyen tersebut akan menjemput kedua-dua wakil iaitu yang menyokong dan yang membantah penyenaraian itu untuk membentangkan kertas kerja.

Selain mereka, semua 222 ahli parlimen pembangkang dan kerajaan turut akan dijemput ke program tersebut.

Negeri Kelantan Seindah Namamu: Oki Setiana Dewi

http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-snc4/41391_100000284467391_5085_n.jpgArtis itu memulakan ucapan dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati nurani: Pertama kali aku datang ke Kelantan, lantas aku jatuh cinta pada Tok Guru, seorang yang luar biasa, zuhud dan sentiasa merendah diri.


Ribuan khalayak, majoritasnya anak muda yang memenuhi gedung Kelantan Trade Centre (KTC) malam itu diam seketika saat mendengar kata-kata yang dilontarkan artis cantik yang melakonkan peran Ustazah Ana dalam filem “Ketika Cinta Bertasbih” Oki Setiana Dewi.

Khalayak sepertinya terpukau bila sang artis pujaan mereka dengan suara penuh kelembutan memuji negeri Kelantan dan Menteri Besarnya, Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sekali pandang mungkin orang tersalah tanggapan, apakah ia benar-benar seorang artis filem dan sinatron terkenal Indonesia, kerana penampilannya tidak seperti majoritas artis-artis lain yang sering mendedahkan aurat, sebaliknya Oki Setiana Dewi mengenakan jilbab labuh mentutupi sehingga paras dadanya. Bertambah cantik dan ayu bila dipadankan dengan baju warna unggu yang dipakai malam itu.

“Oki memakai jilbab bukan disebabkan mahu menghadiri acara “Bicara Selebriti” yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, di Kota Bharu, tapi Oki memakai jilbab sejak usia 16 tahun dan sebelum berlakon filem” tutur Oki.

Ketika usianya 16 tahun ia bertekad mahu menjadi seorang solehah, meskipun ia menyedari ilmu agamanya sangat minimum ketika itu. Namun telah tertanam dalam hati nuraninya satu perasaan bahawa perjalanan hidupnya kini menuju Allah SWT. Memakai kerudung adalah satu perintah agama, untuk menjaga keselamatan wanita, justeru tiada alasan untuk muslimah mengingkarinya.

Sehingga jika datang keinginan untuk melakukan hal-hal yang ditegah agama, ia teringat kerudung yang dipakainya, lantas tak jadi melakukannya. Kata Oki yang ketika itu tinggal di Batam, Riau bersama orang tuanya.

Namun memakai jilbab atau kerudung dalam usia muda pastinya banyak cabaran. Pernah orang bertanya, kenapa sih kamu pakai kerudung, bukankah itu pakaian Arab? Oki lantas menjelaskan, ini bukan pakaian Arab tapi pakaian Islam bagi muslimah. Beritahu Oki di acara bicara Selebriti malam itu.


Oki sejak dari kecil bercita-cita mahu jadi artis, namun setelah berubah ke jalan Allah dengan memakali kerudung dalam usia 16 tahun, ia merasakan peluangnya untuk menjadi artis tertutup rapat. Cita-citanya harus dikuburkan kerana mana ada direktor filem mahu mengambil wanita yang memakali kerudung sebagai artis. Lantas Oki bercita-cita pula mahu menjadi guru.
Selanjutnya, kata Oki “Suatu hari, tanpa diduga, terima telefon dari direktor filem. Kamu ditawarkan berlakon filem. Belum usai percakapan, Oki beritahu, aku sekarang memakai jilbab. Mana bisa…Jawab direktor. Bisa!”

Mendengar tawaran itu, cita-citanya mahu jadi artis filem seperti hidup kembali. Ia berlari ke musolla lantas mengadu kepada Allah SWT. “Ya Allah, aku sekarang sedang berlari menuju-Mu. Manakala rezeki juga di tangan-Mu. Jangan persulitkan rezekiku lantaran jilbab ku ini. Namun paling penting, apakah dengan pekerjaan ku (rezeki) sebagai pelakon filem kelak akan berpaling dari-Mu?

Oki diterima berlakon untuk filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang diangkat dari novel Islami terkenal hasih karya Habiburrahman El-Shirazy dan diberi peranan sebagai ustazah Ana. Filem itu bukan saja diminati di Indonesia, bahkan Malaysia.

Menurut Oki, maklum balas yang diterimanya selepas publik menonton filem KCB, ramai remaja perempuan mula memakai kerudung. Ini adalah kesan positif yang diterima mereka lewat filem itu. Dan ini merupakan salah satu dari uslub dakwah.

Mengakhiri “Bicara Selebriti” Oki mendeklamasi sebuah puisi terkait dengan pengalamannya selama 4 hari di Kelantan dan kesempatan berjumpa dengan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasmi Tok Guru, di JKR 10.

Negeri Kelantan Seindah Namamu

Tanah Serendah Sekebun Bunga
Negeri Tadahan Wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu
Duhai
Wajahmu nan indah
Persis Jeddah
Yang pernah ku lewati
Taat menjunjug al-Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah
Tersentuh hati kudus ku
Lantaran aku di sini
Biar tidak pernah ku duga
Bertemu seorang ulama’
Yang dicintai rakyatnya
Lalu…
Kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit Cuma
Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama’
Yang lembut… tapi tegas beribadat
Yang pengasih…namun tidak goyah
Pada percikkan kealpaan dunia
Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa ku titip buatmu
Moga sejahtera selamanya
Memacu
Membangun Bersama Islam
Moga kita bertemu kembali

Selama berada di Kelantan, Oki juga meluncurkan buku novel terbaru beliau selepas novel pertama Melukis Pelangi di Perpustakaan Negeri Kelantan. Manakala pada pagi Jumaat Oki menghadiri kuliah mingguan Tok Guru di Medan Ilmu, Kota Bharu.

Seperti kata moderator pada malam itu, pengacara undangan dari TV Hijrah, Amim Idris, Negeri Kelantan sejak dulu menjadi tempat artis-artis yang berhijrah kepada kehidupan lebih Islami meluahkan perasaan dan isi hati mereka untuk dikongsi bersama bagi menghidupkan dakwah Islamiyyah dan memantapkan iman.

Tahniah penganjur khususnya YB Ustaz Ahmad Bhaiki Atiqullah.