Tuesday, June 05, 2012

Bayar: Muhyiddin ingat orang PAS macam Umno


KUALA LUMPUR: “Tan Sri Muhyiddin Yasin ingat PAS seperti Umno, tanpa upah mereka tidak akan buat kerja sedangkan PAS melatih ahlinya berkorban dengan dengan apa sahaja  untuk perjuangan Islam,” tegas AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Ini ekoran Muhyiddin mendakwa peserta Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Alor Setar dibayar setelah media penipu mereka tidak lagi boleh menipu di zaman langit terbuka.

Selama ini, kata Idris pemimpin Umno mengalami" terencat bilang" kerana tidak mampu membilang dengan betul.

Beliau berkata, Umno akan mati jika ia menjadi pembangkang seperti PAS yang mampu bertahan sehingga hari ini.

“Umno boleh hidup kerana ada kuasa sahaja, dari segi ideologi perjuangan sudah hancur terutama pimpinan pemuda yang menjadi pejuang projek bukan pejuang ideologi. Sebarang himpunan Umno tidak boleh dibuat tanpa diupah dan diangkut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pemimpin Umno seperti Muhyiddin berfikiran apa yang mereka buat, maka PAS pun berkelakuan buruk  seperti mereka juga.

“Contohnya ketika Tuan Guru Nik Aziz memerintah Kelantan 1990, mereka kata PAS hanya mampu mentadbir negeri dalam masa 3 bulan sahaja kerana tidak cukup wang.

“Alhamdulillah Kelantan mampu bertahan sehingga kini,” ujarnya.

Tambahnya, pemimpin Umno berfikiran, PAS macam Umno jika memerintah, yang mana nilai  projek RM100,000 mereka belanja RM500,000.

Katanya, analogi yang sama juga yang dibuat oleh pemimpin Umno mengenai Himpunan Hijau, dengan mendakwa peserta dibayar sebagaimana himpunan yang mereka biasa buat.

Benarlah, kata Idris dikatakan orang "orang biasa buat baik, sentiasa bersangka baik dan anggap semua orang baik, orang yang sentiasa berbuat jahat, sentiasa bersangka buruk dan beranggapan semua orang jahat sepertinya".

Royalti dikaut, lebuh raya pula dipersenda


KOTA BHARU: “Sudahlah royalti minyak yang dikaut dari bumi Kelantan dinafikan hak, tiba-tiba usaha Kelantan mahu membina lebuh raya rakyat pula cuba diperkecilkan.

“Watak seperti Awang Adek bukan sahaja memperkecilkan niat baik kerajaan negeri bahkan sering melontar tohmahan berniat buruk,” kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar).

Kata beliau sewajarnya Timbalan Pengerusi Umno Kelantan itu merenung kembali apakah usaha yang dilakukannya untuk memastikan projek lebuh raya yang telah diluluskan sejak 1986 dilaksanakan di negerinya sendiri.

Beliau berkata, biar pun projek berkenaan tidak mudah dilaksanakan, namun tiada lagi pilihan yang ada setelah Kelantan dinafikan hak dalam tempoh begitu lama.

“Mengharapkan pemimpin Umno yang berjawatan menteri dan timbalan menteri nampaknya jauh sekali, bahkan ada yang lebih berminat untuk mengisi akaun peribadi atas nama sumbangan kebajikan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Datuk Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan mempertikaikan kemampuan kerajaan negeri membina lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, bahkan disifatnya sebagai helah mengaut balak yang terdapat di sepanjang kawasan laluan dirancang.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, kenyataan pemimpin Umno terbabit langsung tidak mencerminkan sebagai seseorang yang berjawatan Timbalan Menteri.

Menurutnya tidak sepatut beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan projek lebuh raya berkenaan bagi manfaat seluruh rakyat.

“Adalah lebih baik pemimpin Umno Kelantan menutup mulut daripada memperkecilkan projek lebuh raya rakyat kalau sekadar mengeluarkan kenyataan bersifat persepsi yang tidak membina,” ujarnya

Himpunan peneroka Felda halang penyenaraian FGVH


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menggerakan puluhan ribu peneroka Felda dalam Gerakan Selamatkan Felda (GSF) untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini.

Menurut Presidennya, Mazlan Aliman (gambar), gerakan itu akan dibuat dalam tempoh tiga minggu ini sebelum FGVH dimuktamadkan.

Beliau memberi gambaran gerakan atau himpunan yang akan diadakan itu sama seperti Gerakan Mansuhkan PPSMI atau Gerakan Mansuhkan ISA.

"Kita sudah buat macam-macam, kita sudah serah memo kepada Perdana Menteri, ke Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara, malah kita sudah kemukakan bukti-bukti salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Malangnya, kata beliau usaha itu tidak berupaya meredakan keghairahan pemimpin untuk menyenaraikan satu-satunya harta penting orang Melayu, Felda.

Jelasnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memaklumkan kepada pelabur-pelabur antaranya Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, KWSP dan pelabur-pelabur asing supaya jangan melabur dalam FGVH kerana mereka akan berdepan dengan iklim pelaburan yang tidak sihat.

"Anak juga akan mengheret beberapa orang yang dianggap pengkhianat kepada peneroka seperti Isa Samad, Sabri Ahmad, dan Najib Tun Razak sendiri ke mahkamah," katanya kepada Harakahdaily.

Anak konsistan menegaskan mereka bukan bercakap soal saham tetapi pokoknya adalah penyenaraian FGVH yang sakit dan memberi risiko tinggi kepada peneroka.

Tambah Mazlan, kerajaan mesti membatalkan penyenaraian ini dalam masa yang sama tidak perlu berdolak dalik dengan mengatakan FGVH lebih baik dari 'Facebook' dan kenyataan itu merupakan ulangan retorik.

"Kalau kita ingat selepas era penswastaan mana-mana syarikat besar apabila dilancarkan saham sehingga mencecah RM12 seunit. Malangnya ke mana perginya syarikat ini seperti Lembaga Padi Negara yang diswastakan kepada Bernas. Semuanya menemui kegagalan.

"Bila berlakunya ini kerajaan tidak ambil peduli, dan tidak mustahil perkara ini turut terjadi pada Felda, akibatnya peneroka yang menanggung," balas beliau.

Mazlan membayangkan saham FGVH yang hanya lebih kurang RM20 billion dan tidak mustahil saham ini akan lenyap dalam masa satu hari jika pasaran saham tidak menentu.

Justeru beliau tidak menolak penyenaraian ini adalah semata-mata agenda untuk mengambil dan merompak wang rakyat untuk pilihan raya umum nanti.

Monday, June 04, 2012

7 Jun Di Padang Majlis Daerah Machang


Selepas selesai penipuan baru pilihan raya?


KUALA LUMPUR: Selepas penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

"Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataannya kepada media.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.


BILAKAH TARIKH PILIHAN RAYA

Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.  Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia.

BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengendalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya.

Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum.

Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihanraya umum selesai diadakan.

Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum.

Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya.

Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.

Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit  dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN.

Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan.

Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi.

Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan.

Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.

 
PRESIDEN PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

KAMI tidak mahu tanding pilihan raya


KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mengambil keputusan untuk tidak menghantar sebarang calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presidennya, Khalid Ismath (gambar), mereka berkata walaupun mengambil sikap tidak bertanding, mereka terus bersama-sama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

"KAMI masih akan terus bersama-sama SMM dalam koalisi untuk menyuarakan hak dan hasrat mahasiswa yang KAMI telah sepakati. Walaubagaimanapun dalam isu mahasiswa bertanding dalam PRU13 kami mengambil pendirian yang berbeza," kata Khalid dalam kenyataannya.

Mereka memberikan alasan untuk lebih fokus dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan rakyat, hak asasi manusia dan perundangan serta bertindak sebagai kuasa ketiga bagi memastikan konsep ‘check and balance’dapat dilaksanakan dalam negara Malaysia.

KAMI juga, katanya, berpaksi kepada perjuangan non-partisan , justeru penglibatan KAMI dalam PRU13 sebagai calon akan menjejaskan teras perjuangan yang didukung oleh front selama ini.

KAMI juga, jelas beliau, mengutamakan idealisme dan aktivisme bagi anak muda dan mahasiswa untuk memastikan urustadbir dalam negara dijalankan dengan baik.

"Jadi, KAMI memikul tugas bagi membangkitkan kesedaran dan kepedulian anak muda," katanya.

Lagipun, katanya lagi, penglibatan sebagai calon dalam PRU memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi serta masa yang sangat panjang.

Mereka juga memberikan alasan, timbul persepsi daripada masyarakat bahawa gerakan mahasiswa sudah dijangkiti penyakit YBisme, korupsi, dan mahasiswa tidak lagi akan diberi kepercayaan sebagai third force atau sebagai system check and balance jika bertanding pilihan raya.

Ceramah Terkini


Himpunan Hijau memberi suntikan ke Putrajaya



(Baiah PAS dalam perjalanan menuju ke Putarajaya)

ALOR SETAR:  Pastinya ahli dan penyokong PAS rasa puas terhadap Perhimpunan Hijau Menuju Ke  Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah Jumaat lepas.

Selain dapat bertemu sahabat handai dan rakan taulan dari seluruh negara ianya juga bermatlamat membuktikan kepada pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) bahawa PAS bersungguh untuk menawan pusat pentadbiran bersama dengan parti gabungan Pakatan Rakyat.

Ia bukan memukul tong kosong sebagaimana yang sering diperkatakan oleh kepimpinan Umno dan BN sebaliknya pendakian ke Putrajaya tidak mustahil asalkan ada kerja kuat segenap lapisan jentera walaupun menyedari pemergianya penuh dengan liku yang perlu ditempuhi.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di malam berkenaan, menyifatkan perjalanan PAS sehingga ke saat ini memang cukup kental menempuhi berbagai peristiwa pahit manis dalam perjuangan termasuk ketewasan kepimpinan utama di tengah jalan.

Namun, apa pun ketewasan kepimpinan ia tetap diganti dengan kepimpinan yang lebih telus dan berdisplin malah lebih sibuk turun padang melawat jentera bawahan sambil memberikan peransang kepada mereka meneruskan perjuangan serta memberikan nafas baru terhadap orang baru yang menyertai pasukan ini.

Apa-apa pun kata Presiden, "kita mesti ada tautan dengan Allah s.w.t yang memberikan kita kemenangan hakiki."

Tetapi, usaha demi usaha wajar di gerakkan sama dengan perancangan rapi sebab musuh juga mempunyai segala macam jentera dan wang ringgit.

Program Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya itu walaupun disambut dengan limpahan hujan rahmat bermula jam 4.00 petang itu tidak sekali-kali mematahkan semangat ahli dan penyokong tegas tidak kira lelaki ataupun wanita.

Bahkan perhimpunan ini menyerlahkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam dalam satu fikrah tidak macam perhimpunan tajaan Kerajaan BN penuh dengan kemaksiatan dengan alasan itulah yang belia hari ini kehendaki.


Tanpa disedari tindakan Kerajaan BN itu mematikan harapan belia pada masa depan apabila mendedahkan mereka dengan perkara sia-sia tidak bermakna dan boleh menumpulkan pemikiran anak muda yang sepatutnya lebih kreatif berfikir.

Lautan manusia seramai lebih 100.000 orang itu memenuhi kerusi dan padang stadium sekali dilihat umpama semut yang sedang menghisap manisan tidak berganjak walaupun sedetik dalam suasana berhimpit-himpit dan dalam keadaan yang kurang selesa berikutan tanah dan rumput yang becak, berair ekoran hujan lebat sebelah petangnya.

Sembahyang Magrib, Isya dan hajat dimanafaatkan sepenuhnya untuk memohon Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada gerakan Islam untuk sebaris memerintah Malaysia yang dicintai.  Kelambatan bertindak untuk mengambil alihan kuasa pentadbiran akan memusnahkan Malaysia.

Ini kerana, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala mesti diberikan perhatian sebab beliau bukan calang orang meneka begitu sahaja bahawa Malaysia akan bangkrap 2019 seandainya kerajaan tidak menangani masalah rasuah.

Pada malam itu juga terdapat tiga kejutan telah dilakukan pertamaya kehadiran Mohd Zaid Bin Tandang selebriti TV  Al Hijrah yang mengelolakan rancangan berkaitan saudara baru, kemasukan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Profesor Dr Nik Zin Nik Yusuf ke dalam PAS dan tentangan 13 biji bola berwarna hijau sebagai simbolik 'tendangan ke Putrajaya' oleh enam orang bekas pemain bola sepak kebangsaan.

Selepas sahaja tentangan tersebut bergemalah beberapa dentuman bunga api menghiasi langit yang hitam pekat.

Semoga apa yang dicapai di Perhimpunan Hijau itu akan membawa harapan baru kepada pencinta agama seluruh  pelusuk negara untuk mengubahkan, membersihkan dan mewarnai Putrajaya.

FGVH: Awas 'blue form' mengelirukan


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengingatkan peneroka-peneroka Felda jangan keliru dengan 'blue form' yang dikeluarkan oleh Felda Global Venture Holding (FGVH) kepada mereka.

Menurut Presiden Anak Mazlan Aliman, FGVH telah membuat satu paksaan di mana sehingga tengah hari ini peneroka akan menyerahkan 'blue form' yang mereka terima.

Jelas Mazlan, gambaran yang diberikan seolah-olah peneroka akan mendapat saham percuma seperti kakitangan awam, atau syarikat tertentu apabila syarikat mereka dimasukkan ke bursa saham.

"Sebenarnya apa yang ditawarkan melalui 'blue form' itu adalah merupakan lanjutan daripada borang saham yang diedarkan oleh bank tertentu sebelum ini.

"Kita pun sudah buat injuksi untuk membatalkan borang saham sebelum ini tetapi hari ini datang pula 'blue form'," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Bahkan katanya, peneroka hanya ditawarkan sekitar 800 unit saham sahaja yang berharga RM4.55 seunit tetapi borang pinjaman sebelum ini yang diterima peneroka memaklumkan bakal mendapat RM50,000 hingga RM100,000.

Mazlan menyifatkan tindakan itu sangat mengelirukan dan menasihatkan para peneroka berhati-hati dengan tawaran ini.

"Kalau ia perjanjian jangan tanda tangan! Bila berlaku kegagalan penyenaraian FGVH, saham akan jatuh, peneroka akan menanggung akibatnya," katanya yang bertalu-talu menerima panggilan daripada peneroka kerana kekeliruan itu.

Apa yang berlaku ini, beliau sifatkan kerajaan telah mengkhianati peneroka Felda apabila mereka enggan berterus terang dengan peneroka .

"Dalam FGVH, kerajaan kena berterus terang sama ada benda ini adalah pinjaman, katalah ia pinjaman! Jangan guna pelbagai tafsiran seperti durian runtuh.

"Apabila mengetahui ia adalah durian runtuh, maka mereka pun tanda tangan lah sebab mereka hendak mendapatkan duit ini kerana kerajaan tidak berterus terang kepada peneroka," katanya.

Sunday, June 03, 2012

Program Dialog Anak Kelantan diPerantauan yg diadakan di Hotel Putra KL












Lebuhraya Rakyat: Mustapha Kamal turut menyumbang


KUALA LUMPUR: Pelakon Mustapha Kamal Mohd Daud atau lebih dikenali sebagai Mustapha Kamal turut memberi sumbangan kepada pembinaan lebuhraya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu yang sedang diusahakan kerajaan negeri.


Sumbang secara terus itu diberikan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu program dialog anak Kelantan di perantauan anjuran urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di sebuah hotel di ibu kota semalam.

Ketika ditanya tentang sumbangan tersebut beliau memberitahu sebagai anak jati Kelantan adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk membantu dalam usaha melancarkan pembinaan lebuhraya tersebut bagi kemudahan seluruh rakyat negara ini terutama rakyat Negeri Kelantan.


(Seorang ibu mengajar bayinya menderma untuk pembinaan lebuh raya rakyat)

Sementara itu, ketika memberi ucapan Tuan Guru Nik Aziz menjelaskan konsep yang dibawakan dalam pembinaan lebuhraya ini adalah melalui konsep menderma untuk kebaikan.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah melalui konsep menderma dan derma ini adalah untuk kebaikan.

"Setiap apa yang kita lakukan mestilah memilih syurga dipenghujungnya, hanya orang yang tidak berakal menolak syurga dalam setiap apa yang mereka lakukan," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa memberitahu, memang peringkat awal beliau ada kebimbangan berhubung soal kewangan untuk menjayakan projek lebuhraya itu.

"Pada mulanya saya ingat duit yang menjadi masalah utama tetapi apabila kita telah laksanakannya segalanya menjadi mudah dan duit bukannya masalah utama.

"Kuasa kerajaan negeri yang lebih kuat dalam pembinaan lebuhraya iaitu dalam urusan pemgambilan tanah dan sebagainya, kerajaan negeri membenarkan kita mengambil segala hasil bumi ini seperti pasir mahu pun batu bagi kegunaan pembinaan lebuhraya tersebut jadi segala urusan itu dapat kita laksanakan,' jelasnya.

Tambah beliau lagi, sumbangan derma yang diperolehi akan diumumkan jumlah kutipannya setiap hari bagi menunjukkan ketelusan kerajaan negeri dalam memastikan ia tidak menjadi isu kepada pihak lain.

"Kita akan umumkan jumlah sumbangan yang kita perolahi dan untuk makluman sumbangan ini akan digunakan untuk kerja-kerja pembinaan lebuhraya sahaja dan ia tidak termasuk untuk urusan-urusan operasi syarikat," katanya.

Menurut beliau lagi, sebuah syarikat dari Iran telah bersetuju untuk membekalkan minyak tar dengan harga yang lebih murah jika dibandingkan harga di dalam negara ini.

Suasana Himpunan Hijau ke Putrajaya, Stadium Darul Aman


Jalan ke Putrajaya berliku tapi tidak mustahil


TERAS Pengupayaan Melayu (Teras) merumuskan jalan untuk membawa perubahan di Putrajaya berliku tetapi tidak mustahil asalkan semua pencinta keadilan dan kebenaran bergabung tanpa sebarang niat lain melainkan untuk membangun masyarakat dan Negara yang berasaskan keredhaan Allah.
 
Menjadi suatu keanihan jika seorang Muslim tidak beriman kepada ketetapan Allah bahawa Allah memberi kuasa kepada siapa yang Ia kehendakki dan merampas kuasa dari siapa yang Ia kehendaki.

Namun semua ketetapan juga akan menuntut kepada syarat hatta untuk memenangkan agama Allah sekalipun.

Benar peringatan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang dalam amanatnya di Himpunan Hijau ke Putrajaya semalam.

Pra syarat utama adalah mengukuhkan hubungan dengan Allah.

Dengan penuh kesedaran bahawa segalanya akan ditentukan oleh Allah S.W.T. Bagi setiap pejuang agamaNya yang mengguna medan politik berdasarkan sokongan rakyat, syarat hati yang ikhlas kepada Allah akan mampu memenangi hati rakyat yang mahukan kemenangan Islam.

Adapun persoalan strategi dan taktik, Teras berpandangan sememangnya pertolongan Allah memerlukan persiapan dan kesungguhan dalam perjuangan.

Inilah intisari dari tuntutan Allah agar kaum Muslimin mempersiapkan diri dengan kekuatan apa sahaja bila berhadapan dengan musuh.

Teras mengira bahawa hampir 100,000 orang dari seluruh pelosok negara yang membanjiri Pehimpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Alor Star Kedah semalam adalah digerakkan oleh hati-hati yang jernih untuk matlamat memenangkan Islam.

Tidak ada upah dan elaun, tidak ada kemudahan kenderaaan, tidak ada saguhati, tidak ada kemudahan penginapan, tidak ada kerahan agensi kerajaan untuk memenuhi stadium itu.

Menggagahi hujan yang lebat pada petangnya, berhimpit-himpit dipadang dan tangga stadium sehingga tidak ada ruang sedikitpun untuk bergerak, tekun dan sabar serta bersemangat untuk solat berjamaah bersama pemimpin mereka, tekun mendengar ucapan sejumlah pemimpin dan penyokong kebenaran, menumpu perhatian kepada doa Mursyidul Am mereka semua ini adalah ciri ke arah menyiapkan syarat kemenangan yang perlu dikekal dan dijadikan gelombang.

Inilah perbezaan dengan mereka yang berhimpun dengan cara pacingan wang, kemudahan pengangkutan yang ditanggung semua, acara hiburan yang mengelorakan nafsu, elaun poket yang dibayar tunai, peruntukan wang kerajaan yang dibelanja tetapi berselindung disebalik justifikasi program agensi kerajaan.

Perbezaan inilah yang menggerunkan pihak yang melihat PRU 13 sebagai “Ibu segala Pilihanraya”.

Kami berpendapat bahawa sementara sangat sukar untuk memperolehi kemenangan dalam kepungan sebuah sistem yang sudah dirangka sehingga tidak membenarkan ruang yang samarata untuk berhujah dan bersaing dalam ruang demokrasi yang adil, namun tidak mustahil tsunami bakal berulang lagi.

Semangat dari kecintaaan kepada kebenaran Islam yang jitu walaupun dalam sekatan yang dianggap maha mencabar inilah yang akan menentukan kemenangan hakiki. Ia perkara kecil jika Allah sudah memutuskan bahawa bila kebenaran tiba , kebatilan pasti akan hancur.

Antara harapan dan yakin kepada Allah  dan kerja keras inilah yang akan menjadikan perjuangan ini dirasai nikmatnya. Bagi mereka yang berpandangan dan beranggapan para pejuang Islam itu akan lelah dan kecewa sebenarnya akan jauh lebih kecewa kerana perjuangan Islam tidak pernah mati. Diperlaku sezalim mana sekalipun nafas perjuangan Islam tetap terus disambung.

Ikhwan Muslimin di Mesir sudah melalui babak yang jauh lebih pahit. Kini ruang terbuka dan dengan penuh istiqamah mereka meniti kemenangan sedikit demi sedikit dan selangkah demi selangkah.

Kami menyeru agar rakyat bersiap menempa zaman dan sejarah baru dengan gagah dan penuh bermaruah. Saatnya Putrajaya berada di tangan rakyat sudah tiba.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Teras.

Program Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya Sebelah Malam

















Perhimpunan PAS paling aman jika tidak diserang


KUALA LUMPUR, 3 Jun: Himpunan Hijau Ke Putrajaya membuktikan perhimpunan PAS adalah yang paling aman jika tidak diserang dengan ganas, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kita sentiasa membuktikan dalam semua perhimpunan kita dan kita membuktikan sekali lagi dalam Himpunan Hijau Jumaat lalu bahawa perhimpunan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) adalah yang paling aman jika kerajaan Umno tidak mengerahkan polis menyerang kita dengan ganas," katanya.

Menurut Mahfuz, suasana aman dalam perhimpunan PAS dan PR bukan kerana diadakan di dalam atau di luar stadium kerana terbukti di mana pun perhimpunan PAS dan PR diadakan, semuanya berjalan dengan aman jika tidak diganggu dan diserang.

"(Presiden PAS, Datuk Seri) Tuan Guru Abdul Hadi (Awang) pernah memimpin puluhan ribu orang berarak dari Masjid Kampung Baru ke Pusat Konvensyen KLCC dan akhirnya ke Kedutaan Amerika Syarikat.

"Dari selepas solat Jumaat hinggalah jam lima petang, semuanya berjalan dengan penuh aman kerana kerajaan Umno tidak kerahkan polis serang demonstrasi dan perarakan itu.

"Tidak ada sesiapa yang diganggu oleh mereka yang berdemonstrasi, tidak ada harta awam yang dirosakkan dan tidak ada perniagaan yang ditutup malah banyak kedai makan yang kehabisan makanan yang hendak dijual kerana mereka yang berdemonstrasi singgah makan dan minum, maklumlah pada masa itu penipu-penipu yang mengada-ngada belum dapat idea untuk mendakwa perniagaan mereka ditutup dan rugi," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sebagai Pengarah Program Himpunan Hijau itu, Mahfuz berkata, perhimpunan itu akan diadakan di seluruh negara.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program itu.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana dengan pertolongan-Nya, Himpunan Hijau dapat kita adakan dengan penuh gemilang.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ratusan ribu ahli dan penyokong PAS yang datang dari seluruh negara sehingga menjadikan himpunan itu begitu bermakna kepada perjuangan bersama," katanya.

Menurut Mahfuz, kejayaan penganjuran himpunan itu adalah hasil dari komitmen yang luar biasa dari semua yang terlibat.

"Kepada Unit Amal, Unit Keselamatan, Unit IT yang berjaya memberikan liputan program itu sehingga dapat disaksikan di seluruh dunia, Unit Perubatan, PAS kawasan-kawasan dari seluruh Kedah dan semua pihak yang terlibat menjayakan himpunan itu,  saya ucapkan terima kasih tidak terhingga dan jazakumuLlahu khairan kathira.

"Saya yakin Umno semakin merasa bahangnya kerana komitmen untuk menjayakan Himpunan Hijau adalah muqaddimah kepada komitmen kita kepada kerja-kerja pilihan raya yang akan datang," katanya lagi.