Thursday, October 08, 2009

TENTERA : JANGAN TAKUT UNDI PAS


1. Kebangkitan rakyat yang berlaku di sesebuah negara sebenarnya tidak meminggirkan peranan anggota tentera . Sebahagiannya anggota tenteralah yang memimpin kebangkitan tersebut .
2. Saya sebenarnya tidak bimbang sokongan anggota tentera kepada Pakatan Rakyat amnya dan PAS khasnya tetapi malangnya kita dihambat oleh sistem undi pos yang terdedah kepada manipulasi pihak UMNO dan BN .
3. Begitu juga tekanan atau ugutan dari pegawai atasan kepada anggota tentera yang memaksa mereka mengundi UMNO dan BN seperti penggunaan borang 2 yang memuatkan data dan latar belakang pengundi tersebut . Sedang undi dalam sistem pilihanraya negara kita adalah rahsia . Apabila undi tersebut terdedah kepada pengetahuan pihak lain , ia mengganggu ketulusan dan ketelusan demokrasi .
4. Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa anggota tentera sewajarnya berada di hadapan bersama kebangkitan rakyat menuntut perubahan khasnya menentang rasuah . Inilah antara yang berlaku di negara - negara lain seperti Thailand yang akhirnya berjaya menuntut perubahan total dan meruntuhkan kerajaan rasuah .
5. Tiada apa sebenarnya yang perlu dibimbangi jauh sekali ditakuti oleh anggota tentera sesuai dengan semangat wira mereka sebagai anggota tentera yang sasa dan berani . Apatah lagi hanya sekadar untuk mengundi dan memberi sokongan kepada PAS atau Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang meskipun undi itu diketahui .
6. Dewan Pemuda PAS Pusat telah bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana - mana anggota tentera yang diambil tindakan semata - mata kerana ia mengundi PAS dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang kelak .
7. Selamat mengundi dengan penuh tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang bersih , berwibawa dan jauh dari krisis integriti .
8. Ingat pesan al Mursyidul Am PAS , jangan sesiapa takut untuk mengundi PAS . Sayugianya demokrasi negara telah matang dan demikian juga para pengundi . Undilah dengan wajar dan waras berasas ilmu dan kepentingan masa depan negara . Bukan mengundi kerana diugut atau dibayar tetapi dengan kesedaran dan kefahaman .
9. Namun begitu , bagi memastikan perjalanan undian pos berjalan dengan baik dan selamat , Dewan Pemuda PAS akan senantiasa mengekori perkembangannya dalam jarak sejengkal dibelakang dan mendahului kawalan dan pengawasan sejengkal di hadapan agar tiada sebarang penyelewengan .
10. Kami tidak akan teragak - agak untuk mengambil tindakan undang - undang ke atas mana - mana individu yang dikesan melakukan penyelewengan atau penipuan ke atas undi pos sekalipun melibatkan pegawai - pegawai tertentu dari kalangan pemerintah anggota tentera . Harapan kita , tiada sebarang penyelewengan insyaallah .

No comments: