KUALA LUMPUR, 11 Mei: Tindakan Umno BN yang mencipta pelbagai fitnah bagi memburukkan Pakatan Rakyat telah menyebabkan parti itu kini boleh disifatkan sebagai parti kurang upaya, sehingga terpaksa menagih simpati rakyat dengan cara sedemikian hina.
Namun dalam masa yang sama, fitnah-fitnah yang diciptakannya berpusing pula menjadi bahan ketawa orang ramai, apabila ia ternyata tidak berasas, tetapi hanya sengaja diada-adakan bagi mengelirukan orang ramai.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terbaru Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyatnya memperjelaskan lagi realiti itu, sehingga menyebabkan para pemimpin Umno kini turut disifatkan sebagai pelawak oleh pelbagai pihak.
Menurut beliau, Umno BN boleh disifatkan sedemikian kerana yang menzalimi rakyat bukannya Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi parti itu sendiri ketika mereka memerintah Selangor dulu.
Katanya, tetapi kini setelah Selangor berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, setiap pihak boleh menilai sendiri betapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti juga Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain telah melakukan pelbagai tindakan bagi membantu rakyat dalam segala aspek.
"Ketika rakyat sendiri dapat melihatnya dengan jelas, mereka pula yang mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat menzalimi rakyatnya, jadi tak ke lawak tu namanya?" katanya sambil ketawa ketika diminta mengulas perkara itu, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini secara terang-terangan telah mengarahkan para pemimpin Umno BN melakukan apa sahaja untuk merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, para pemimpin Umno antara lain telah menyambutnya dengan membuat tuduhan liar dengan mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menzalimi rakyat Selangor sepanjang memerintah Selangor sejak tahun 2008 lalu.
Menurut Mahfuz, tujuan Umno BN mahu merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang sebenarnya bukanlah untuk membantu rakyat, tetapi bagi membolehkan mereka membaham khazanah negeri Selangor bagi kepentingan mereka sendiri.
Realiti itu bagaimanapun amat berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah melakukan pelbagai perkara bagi kepentingan rakyat Selangor berbanding semasa Selangor berada di bawah pemerintah BN dulu.
Antara yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor termasuklah memberikan air percuma kepada rakyatnya, warga emas yang meninggal dunia diberikan wang kifalah RM2,500, setiap bayi yang dilahirkan mendapat RM100 sehingga apabila berumur 18 tahun wangnya yang terkumpul sebanyak RM1,500.
Selain itu, turut disediakan rumah mampu milik kepada rakyatnya, di samping pelbagai perkara lain lagi yang telah dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang jelas menguntungkan setiap rakyatnya.
"Jadi, dengan berbuat begitu, dari sudut manakah ukuran yang dibuat oleh Umno BN itu sehingga dikatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyatnya?
"Tidakkah itu lawak namanya? Sememangnya para pemimpin Umno BN kini cukup bijak berlawak dan mereka tidak ubah seperti pelawak-pelawak yang sedang berlawak dalam rancangan lawak Astro," ujar beliau sambil tergelak kelucuan.
No comments:
Post a Comment