Saturday, May 14, 2011

Muslimat perlu sedia pelan untuk ke Putrajaya

PENGKALAN CHEPA, 14 Mei: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa menyarankan muslimat PAS negeri menyediakan pelan sebagai persiapan untuk ke Putrajaya.
Katanya, pelan yang lebih berstrategi perlu diatur bagi menawan Putrajaya untuk menggantikan pentadbiran negara yang semakin zalim, khususnya terhadap kerajaan Kelantan yang tidak pernah adil sejak 21 tahun lalu.
Husam seterusnya menambah, kejahatan kerajaan BN yang menafikan hak Kelantan seperti pembinaan lebuh raya di negeri itu, geran dari kerajaan Pusat untuk AKSB, penafian hak royalti dan lain-lain lagi perlu diubah oleh muslimat.
“Pada masa yang sama kita juga menyeru muslimat Kelantan yang terbukti berani sentiasa bermunajat kepada Allah agar kerajaan Pusat menyerahkan royalti pada kerajaan negeri.
“Usaha itu perlu dilakukan berterusan dan jangan hanya bila rasa perlu sahaja kerana tuntutan kita tidak bertentangan dengan syariat dan undang-undang negara,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan ke-38 di sini.
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Kelantan mengukir sejarah baru apabila semua kepimpinannya yang lalu berjaya mengekalkann kedudukan masing-masing setelah mereka menang tanpa bertanding.
Kemenangan yang masih mengekalkan kedudukan ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, timbalannya, Wan Ubaidah Omar dan naib, Rohani Ibrahim berlaku apabila tiada nama-nama baru dicalonkan untuk bertanding untuk merebut jawatan itu dari penyandangnya.
Bukan itu sahaja, 10 anggota jawatankuasa sesi lalu termasuk isteri Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, masih mengekalkan kedudukan mereka apabila nama-nama mereka dicalonkan sekali lagi.
Zailah ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Dewan Muslimat ke-38, menyifatkan ianya suatu sejarah baru dalam politik di negeri itu.
“Ini juga membuktikan muslimat lebih menumpukan kemenangan pentadbiran Negara serta mengekalkan kedudukan kerajaan Kelantan berbanding perebutan jawatan apa lagi mewujudkan masaalah dalaman,” ujarnya.

No comments: