KUALA LUMPUR, 9 Nov: Pakatan Rakyat menggesa pemimpin BN berhenti membuat promosi kononnya harga produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) lebih murah dan menjimatkan kerana perbandingan harga yang dibuat menunjukkan sebaliknya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tinjauan harga yang dibuat di KR1M dan pasaraya Carrefour menunjukkan perbezaan harga yang kecil malah ada sesetengah produk di Carrefour lebih murah berbanding di KR1M.
"Dalam pada sesetengah produk lebih murah di KR1M, ada produk yang jauh lebih murah di Carrefour iaitu 30 hingga 50 peratus," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau turut membawa pencuci lantai serbaguna dan cecair peluntur KR1M yang harganya lebih mahal berbanding di Carrefour serta mengedarkan salinan senarai harga produk KR1M yang lebih mahal berbanding pasaraya lain.
"Untuk 1 liter cecair peluntur KR1M, harganya RM1.90 iaitu 30 peratus penjimatan tetapi bila pergi ke Carrefour atau Tesco, harganya cuma RM1.29 iaitu 40 peratus lebih jimat daripada KR1M," katanya sambil menunjukkan produk tersebut kepada pemberita.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada sidang media sama mempersoal peruntukan RM40 juta untuk KR1M yang didakwa tersasar daripada tujuan sebenar kewujudannya.
Beliau berkata, sangat malang apabila kerajaan memperuntukkan dana yang besar dengan alasan untuk meringankan beban rakyat namun pada masa yang sama melakukan penipuan harga.
"Bagaimana kerajaan membelanjakan RM40 juta ke arah mewujudkan 85 unit KR1M apabila di lapangan harga yang ditawarkan adalah jauh menyasar daripada pengumuman?
"Iklan yang dibuat oleh GTP serta pengumuman kementerian tidak terlalu kasar jikalau hakikat sebegini dikatakan adalah satu bentuk penipuan kepada rakyat," katanya.
Selain itu turut dipersoal mengenai tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mewujudkan Kedai Rakyat MAIWP Oktober lalu yang dikatakan menawarkan harga rendah sehingga 40 peratus daripada pasaran biasa bagi membantu rakyat di sekitar ibu kota terutama golongan asnaf dan rakyat termiskin.
Sedangkan katanya sudah terbukti dakwaan produk jenama 1Malaysia mempunyai kualiti setanding dengan pasaran biasa adalah satu penipuan.
"Bagaimana pihak MAIWP menjustifikasi penggunaan duit rakyat dalam mewujudkan kedai-kedai ini?
"Berapakah jumlah dana yang akan diguna, berapa jumlah kedai yang akan diwujudkan, dan dari sumber apakah dana ini diambil?" soalnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata tiada gunanya kerajaan mempunyai hasrat yang murni untuk membantu rakyat tetapi pelaksanaannya tidak menunjukkan demikian.
"Kerajaan tidak ada pertanggungjawaban dalam memastikan pelaksaannya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Apa gunanya kalau produk yang sama, harga lebih tinggi tetapi cuma ditulis 'dibungkus oleh Kedai Rakyat 1Malaysia', katanya.
No comments:
Post a Comment