Sunday, August 12, 2012

Tamrin keluar Umno, serah borang sertai PAS


KUALA LUMPUR: Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar (gambar) akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.

Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.

Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.

Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.

"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.

"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.

Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.

"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.

"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan PAS," katanya.

Mat Sabu seru kuningkan ambang Merdeka


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menyeru semua pihak memakai baju kuning dan keluar bersantai beramai-ramai di Dataran Merdeka pada malam 31 Ogos ini.

"Bukan tunjuk perasaan. NGO akan adakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka dengan keluar bersantai sambil pakai baju kuning.

"Kita semua meriahkan sambutan Merdeka dan keluar bersantai pakai baju kuning di Dataran Merdeka.

"Bukan tunjuk perasaan... (tetapi) bersantai pakai baju kuning," katanya dalam ceramahnya di sini malam tadi.

Khamis lalu, sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan akan mengadakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka untuk mengingatkan kerajaan berhubung janji-janji bagi memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil.

Pengerusi Bersama Bersih Datuk A Samad Said berkata, program yang dinamakan "Janji Bersih" itu akan menyaksikan pesertanya memakai pakaian kuning sebagai lambang perjuangan menuntut reformasi sistem pilihan raya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai program tersebut selepas ceramahnya itu, Mohamad berharap rakyat akan menjadikan sambutan Hari Merdeka tahun ini sebagai yang paling meriah dan bersejarah.

"Kita tidak menunjuk perasaan. Kita sambut Hari Merdeka bersama-sama rakyat yang berkumpul di Dataran Merdeka pada malam itu.

"Kalau ada pun perbezaan, slogan NGO yang meminta kita sambut Merdeka pakai baju kuning itu hanya berbeza satu perkataan sahaja dengan slogan yang digunakan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan Umno BN guna slogan 'Janji Ditepati', NGO tersebut guna slogan 'Janji Bersih'," katanya sambil menekankan bahawa tidak ada undang-undang yang mengharamkan rakyat keluar bersantai memakai baju kuning.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menggesa NGO berkenaan agar tidak "mempolitikkan" sambutan ambang merdeka dengan turut sama di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.

Menjawab gesaan polis itu, A Samad berkata, program "Janji Bersih" pada 31 Ogos di Dataran Merdeka berhasrat menuntut janji reformasi pilihan raya dan bukannya berniat mempolitikkan sambutan kemerdekaan.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar bagi polis melarang rakyat memakai baju berwarna kuning.

"Sepatutnya tiada halangan apa-apa baju pun orang nak pakai apatah lagi kuning bukan warna haram," tegas beliau.

Janji Bersih bukan politikkan Merdeka - Pak Samad


KUALA LUMPUR: Datuk A.Samad Said menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka 30 Ogos ini sebagai cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu janji Bersih lalu ditunaikan.

"Memang tidak wujud (mempolitikkan sambutan merdeka), oleh kerana Bersih sendiri itu pun bukan badan politik, apa lagi dengan gabungan badan-badan yang lain.

"Untuk IGP berfikir bahawa ini satu perlawanan oleh Bersih, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan di Gombak petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar gabungan NGO itu tidak mempolitikkan sambutan ambang merdeka dengan berbaju kuning di Dataran Merdeka 30 Ogos ini.

Semalam 26 NGO termasuk Bersih menyatakan hasrat untuk 'menguningkan' Dataran Merdeka dalam program dinamakan "Janji Bersih" bagi menuntut janji kerajaan untuk memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil pada malam ambang merdeka itu nanti.

"Kuning bukan warna yang haram. Kehadiran dengan baju kuning itu hanya simbolik.

"Perjuangan itu untuk menuntut janji bersih (yang belum ditunaikan)," katanya.

Apa hukum MCA, Umno tolak hudud?


KUALA LUMPUR: "Jika DAP yang menolak hudud boleh dikatakan kafir harbi, bagaimana dengan Umno dan MCA yang juga menolak hudud."

(MCA membuat demonstrasi di depan pejabat PAS membantah Hudud)

Persoalan ini dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ekoran laporan muka depan akhbar Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa haram undi DAP.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu meminta Majlis Fatwa buat keputusan apakah benar fatwa Pengasas Pondok Genting yang sekian lama menjadi alat Umno itu.


Menurutnya, penolakan MCA terhadap hukum hudud dapat dilihat secara terang-terangan, selain turut disokong Umno sendiri yang mengaku beragama Islam.

(Penolakan Najib terhadap hudud...Berita ini hanya disiarkan dalam akhbar MCA)

Tuan Ibrahim  berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mengeluarkan kenyataan menolak hukum hudud.

"Kita kena sedar, bukan DAP sahaja tolak hudud, tapi MCA juga berbuat demikian secara terang-terangan.  Malah, Najib sendiri pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan melaksanakan hudu selagi menjadi perdana menteri," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Justeru, kata beliau semua pihak perlu melihat keseluruhan aspek, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang berat-sebelah dan hanya untuk memuaskan hati pihak berkepentingan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah, dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia yang mengatakan haram bagi umat Islam mengundi DAP, baru-baru ini.

Tambah beliau, mana-mana hukum yang dikeluarkan perlu bersandarkan syarak dengan dalil-dalil dan nas yang betul, bukan boleh dikeluarkan sewenangnya dengan bersandarkan perasaan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang (Gambar kanan) itu menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan tersebut, lebih-lebih lagi kenyataan yang melabelkan DAP sebagai 'kafir harbi'.

Ini kerana, katanya kenyataan itu merupakan satu perkara yang begitu besar kerana dihalalkan darah mereka, harta mereka yang disifatkannya boleh menimbulkan suasana tidak aman di dalam negara berbilang kaum dan agama ini.

"Justeru, saya minta Majlis Fatwa segera melihat perkara ini secara serius dan menyegerakan fatwa bagi mengelakkan berlkunya sebarang kerosakan di negara ini," tegas beliau.


Tahaluf Siasi


Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyokong kenyataan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (gambar kiri) yang mengatakan sekiranya orang bukan Islam tidak boleh disokong, bagaimana mereka boleh dilantik menjadi menteri seperti amalan yang dilakukan Umno.

Sambil menegaskan kerjasama PAS dengan DAP bukan berbentuk wala' iaitu patuh atau ikut arahan, sebaliknya tahaluf siyasi (kerjasama politik), beliau berkata perkara tersebut tidak difahami kebanyakan pihak.

"PAS bertanding dengan lambang PAS, calon PAS, duit PAS. PKR dengan lambang PKR, calon PKR.  Begitu juga DAP.  Tidak seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen lain dalam BN, mereka terpaksa ikut arahan bertanding atas satu lambang iaitu BN," tegas beliau lagi.

Kes NFC: Rafizi, Zuraida anggap permulaan baik



KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes saman bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersambung hari ini dengan sesi pertanyaan dari peguam defenden berhubung keterangan beliau sebelum ini.

Shahrizat telah mengemukakan saman RM100 juta terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung penyelewengan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan pada 18 September ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar keterangan Sharizat ketika menjawab pertanyaan dari peguam plantif, Ranjit Singh.

Namun sebelum itu, Mahkamah yang bermula pada jam 10.30 pagi itu telah telah dipertontonkan rakaman video sidang media yang dibuat Rafizi dan Zuraida pada persidangan parlimen yang lepas.

Rakaman video tersebut dipertontonkan bagi menunjukkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin PKR yang dikatakan telah memfitnah Shahrizat.

Sementara itu, Shahrizat ketika menjawab pertanyaan Ranjit Singh berhubung penglibatan keluarganya dalam projek tersebut berkata, beliau tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh suaminya pada tahun 2007 yang meminta kedua-dua anaknya yang berada di luar negara balik ke Malaysia bagi membantu menguruskan projek tersebut.

Rafizi dan Zuraida ketika ditanya selepas perbicaraan tersebut memberitahu apa yang berlaku hari ini adalah satu permulaan yang baik.

"Ia satu permulaan yang baik, kita dapat melihat peguam menjalankan tugas dengan baik," kata Zuraida

Rafizi yang turut menjelaskan beliau tidak mahu komen lebih banyak dengan apa yang berlaku hari ini kerana khuatir ia akan mempengaruhi perbicaraan yang sedang berlangsung.

"Tapi apa yang berlaku amat menyeronokkan dan berterima kasih dengan apa yang dilakukan peguam hari ini dan anda semua boleh menilai sendiri apa yang berlaku," jelasnya.

Rafizi diwakili Peguam, Ranjit Singh, Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri manakala Sharizat pula diwakili peguam Shafie Abdullah.

Fatwa kafir harbi umpama ajak perang


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) berkata tindakan membuat 'fatwa' bahawa DAP adalah 'kafir harbi', boleh membawa kesan mendalam seolah-olah meminta orang Islam berperang.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia," katanya dipetik Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Katanya, mana-mana pihak perlu membuat penelitian dalam konteks politik sebenar negara ini sebelum mengeluarkan 'fatwa' sedemikian.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong... jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, mana-mana hukum yang dikeluarkan perlu bersandarkan syarak dengan dalil-dalil dan nas yang betul, bukan boleh dikeluarkan sewenangnya dengan bersandarkan perasaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan tersebut, lebih-lebih lagi kenyataan yang melabelkan DAP sebagai 'kafir harbi'.

Ini kerana, katanya kenyataan itu merupakan satu perkara yang begitu besar kerana dihalalkan darah mereka, harta mereka yang disifatkannya boleh menimbulkan suasana tidak aman di dalam negara berbilang kaum dan agama ini.

Pandangan Islam terhadap 'kafir harbi'telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an surah Al Mumtahanan ayat 9, yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Dari ayat ini, para mufassirin dan fuqaha menegaskan, kafir harbi adalah orang kafir yang diam dan hidup dalam wilayah pentadbiran ummat Islam atau diluarnya, mereka berkhianat kepada Negara Islam, memusuhi, tidak mahu berdamai, menjalankan usaha merosakkan ummat Muslimin dan agama Islam.

Mereka ini mesti diwaspadai dan diperangi sekiranya mereka menyerang ummat Islam atau membantu pihak lain menyerang ummat Islam. Dan Allah SWT juga memerintahkan kita ummat Muslimin supaya tidak menjadikan mereka sahabat, kawan rakan, pembela dan wali (pemimpin).

Ribuan sertai qiam bersama Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Ribuan rakyat negeri Kelantan tidak melepaskan peluang untuk menghidupkan Ramadhan bersama Sultan Kelantan dalam program Qiam With Me di Istana Negeri di sini malam tadi.

Program julung-julung kali diadakan itu menerima sambutan luar biasa rakyat yang mahu bersama sultan kesayangan mereka Sultan Muhammad V.

Suasana malam tadi menyaksikan Dewan Jubli Perak, di Istana Negeri, Kubang Kerian itu penuh malah kesemua khemah diluar dewan juga sesak.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat Terawih bersama Sultan Muhammad V.

Turut hadir pada program itu, saf kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus sebelum masing-masing diberikan masa untuk berehat.

Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.

Berikut adalah antara-gambar sekitar program itu malam tadi.






Thursday, August 09, 2012

JK Royalti: Tok Guru sudah menghadap Sultan

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau telah menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan wakil negeri itu yang akan dicadang menganggotai jawatankuasa khas bayaran tunai royalti.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, belum mengemukakan cadangan siapakah individu yang bakal menduduki jawatankuasa itu nanti kerana ianya belum dibincangkan diperingkat kerajaan negeri.

"Kita tak bincang lagi, mesyuarat exco hari ni pun tak bincang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Kelantan, di Dewan Teratai petang tadi.

Penubuhan jawatankuasa khas itu sebelum ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengkaji isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Mengulas cadangan beberapa pihak agar Tengku Razaliegh Hamzah dipilih menyertai jawatankuasa itu, Tuan Guru berkata ia boleh dicadang, tetapi tidak semestinya dipilih.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan agar Kelantan memboikot jawatankuasa itu pula, Tuan guru berkata pihaknya tidak bercadang untuk berbuat demikian namun berharap agar banyarannya dipercepatkan dan bukan menunggu tempoh enam bulan.

"Tak ada sebab nak dilambatkan, sebab ia hak Kelantan," katanya.

Berhubung masaalah air yang terputus di Pasir Mas, menteri besar berkata ianya berpunca daripada musim kemarau dan bukannya masaalah pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Katanya, hujan yang jarang berlaku sekarang membuatkan air sungai menjadi kering.

"Peralatan canggih macamana sekalipun tidak mampu mengatasi masalah kekurngan air akibat kemarau.

"Masalah air bukan saja berlaku di Kelantan. Tetapi negeri lain juga sebagaimana yang dilaporkn dalam akhbar baru-baru ini," katanya.

Timbermine: Tok Guru mohon rakyat solat syukur


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon pemimpin dan rakyat negeri ini menunaikan solat sunat syukur berikutan keputusan mahkamah dalam kes saman Timbermine terhadap Kelantan kelmarin.

Perkara itu disampaikan Tuan Guru melalui Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan kepada Harakahdaily hari ini.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan PAS Kelantan mengucapkan terma kasih kepada jawatankuasa bertindak kes ini dan juga team peguam yang bertungkus-lumus mempertahankan kerajaan negeri,”ujarnya.

Isnin lalu Mahkamah Rayuan Malaysia telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Kelantan membayar RM560 juta (RM1.2 bilion termasuk faedah) kepada Syarikat Timbermine Sdn Bhd.

Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar.

Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Kenapa dolak-dalih dalam royalti - Ku Li


KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian dengan Menteri Besar Kelantan mengenai royalti Petroleum, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) menempelak sikap pihak yang suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak untuk Kelantan.

Dalam posting terbaru melalui Facebook beliau, anggota Parlimen Gua Musang itu mempersoalkan "Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?"

Beliau menghubungkan komen beliau itu dengan muka depan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 (gambar kanan) yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.

Tengku Razaleigh dipercayai mempertikaikan penubuhan Jawatankuasa untuk mengkaji pemberian bayaran tunai/royalti Petroleum yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan meminta beliau menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Hamid Mohamad itu.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh dalam kenyataannya meminta kerajaan Pusat agar menyelesaikan isu pembayaran royalti ini menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, kata beliau, isu ini akan menyusahkan BN jika ia tidak diselesaikan sebelum itu.

Royalti: Tak perlu JK Khas, ikut formula Terengganu


KOTA BHARU:
NGO Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (Royalti) mencadangkan Kerajaan Negeri Kelantan agar menolak penubuhan jawatankuasa bayaran tunai royalti yang dicadang Kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya Nazri Deraman (gambar kiri) berkata, penubuhan jawatankuasa itu sebenarnya lebih kepada gimik politik BN semata-mata memandangkan bayaran royalti itu boleh dibuat mengikut formula yang digunapakai terhadap Terengganu.

"Ianya (penyelesaian tanpa adanya jawatankuasa bayaran tunai) telah terbukti berjaya (di Terangganu), malah Terengganu dan Kelantan adalah kedua-duanya di Semenanjung Malaysia.

"Pihak kami percaya sekiranya formula yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan digunapakai di Kelantan, pada masa akan datang tidak akan timbul lagi masalah berbangkit memandangkan kedua-duanya merupakan negeri penyumbang kepada Pengeluaran Minyak dan Gas di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Cadangan itu katanya juga antara yang terkandung dalam memorandum yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Selain menuntut kerajaan negeri menolak penubuhan jawatankuasa itu, mereka juga mahu kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat membuat bayaran segera iaitu sebelum 1 Syawal, tanpa perlu kepada penubuhan jawatankuasa itu.

Ianya selaras dengan perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 di mana antara lain menyebut:

PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.

"Bayaran Tunai yang bolehlah dipanggil “Bayaran Pendahuluan” perlulah dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Permbangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan mana-mana agensi yang tidak diiktiraf oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan – Petronas 1975," katanya lagi.

Wednesday, August 08, 2012

Royalti, air Kelantan: Tabiat Umno suka berbohong


KUALA LUMPUR: Isu royalti dan air di Kelantan membuktikan kepada rakyat bahawa Umno mempunyai tabiat suka berbohong, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Dalam kedua-dua isu itu, amat jelas Umno mempunyai tabiat suka berbohong yang tegar dan tidak boleh dikikis lagi.

"Ketika parti itu mendakwa kononnya "janji ditepati", berbohong memang cara dan kebiasaan Umno yang normal dan semula jadi tidak kira ketika membuat kenyataan atau menjawab soalan," kata beliau.

Dalam isu jawatankuasa khas royalti, kata Mahfuz, Umno minta "jangan politikkan"

"Tetapi dalam isu air di Kelantan, (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) suruh undi Barisan Nasional (BN) untuk selesaikan isu itu. Umno cakap berbelit-belit dan penuh pembohongan," katanya.

Tabiat suka berbohong, kata beliau lagi, sudah menjadi cara hidup Umno terutama para pemimpinnya.

"(Bekas Presiden Umno, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata Umno sudah jadi parti perasuah dan beliau juga tulis bahawa Umno sudah busuk hingga ke ususnya.

"Dengan sifat Umno yang suka berbohong itu dan dicampur dengan apa yang Dr Mahathir tulis dalam blognya mengenai parti itu, rangkaikanlah parti apa sebenarnya Umno itu," kata Mahfuz.

Mengenai jawatankuasa khas royalti, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan jawatankuasa tersebut tidak relevan dan tidak perlu wujud.

"Kerajaan Umno melalui ucapan Tun Abdul Razak Hussein dalam Parlimen pada 12 Disember 1975 sudah janjikan royalti hasil petroleum dalam bentuk tunai itu dan perjanjian juga telah dibuat antara kerajaan Kelanyan dengan Petronas pada tahun yang sama, sebab itulah jawatankuasa itu tidak relevan, karut dan tidak perlu wujud.

"Tidak mustahil jawatankuasa itu akan dijadikan entiti tujuan khas Umno untuk berbohong lagi," kata Mahfuz.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga yang juga Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta penubuhan jawatankuasa khas royalti tidak dipolitikkan.

Tetapi keesokan harinya, Najib mempolitikkan isu air apabila memberi jaminan BN akan menyelesaikan masalah air yang kritikal di Kelantan jika ia menawan kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Pakatan siap sedia, jangka PRU13 September


Pakatan siap sedia, jangka PRU13 September


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini menyatakan kesediaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangkakan akan diadakan pada September akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata isu pilihanraya turut dibincangkan pada pada  mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini, dan yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan menggunakan kesempatan hari Merdeka ini untuk mengumumkannya.

"Saya yakin Umno-Barisan Nasional akan mengambil kesempatan pada hari Kemerdekaan kali ini untuk memulihkan imej mereka," jelasnya pada sidang media di Pejabat PKR hari ini.

"Kita berkeyakinan ia akan diadakan pada September nanti dan paling lewat adalah pada bulan November. Segala perancangan telah kita aturkan sebaik mungkin," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke menyatakan Umno-Barisan Nasional akan terus menggunakan skrip lama dengan memburuk-burukkan DAP dengan tanggapan negetif.

"Skrip lama akan terus digunakan, memburukkan DAP dengan pandangan-pandangan negetif bagi tujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu.

"Mereka berharap tindakan tersebut akan memberi kesan undi kepada PAS dan PKR kerana pengundi Melayu akan beralih kepada mereka," jelasnya.

Menurutnya lagi, selain Umno dengan skrip lama, rakan mereka MCA juga akan menakut-nakutkan pengundi Cina dengan isu Hudud akan tidak menyokong Pakatan dan seterusnya memberikan gambaran yang buruk kepada PAS.

"Bagi mengatasi tomahan yang tidak berasas ini, kita diperingkat Pakatan telah merangka strategi untuk menangkis tomahan tersebut.

"Apa yang kita harapkan nanti rakyat akan tertumpu kepada agenda yang kita akan bawakan untuk kebaikan seluruh rakyat negara ini," sambungnya lagi.

Katanya lagi, Pakatan akan terus menfokuskan kepada rakyat tentang agenda besar yang telah dipersetujui bersama di dalam dasar Pakatan Rakyat.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen PKR.

Kelantan juga guna 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju untuk menggunakan tema Hari Kemerdekaan yang dicadang Pakatan Rakyat iaitu “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” berbanding tema “Kelantan Menerajui Perubahan” yang diputuskan kerajaan negeri sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Sekretariat Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami merujuk kepada kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini mengenai Tema Hari Kebangsaan.

"Pihak Sekretariat Pakatan Rakyat dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju untuk mengambil tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” sebagai tema Hari Kebangsaan ke 55 disamping tema Kerajaan Negeri iaitu “Kelantan Menerajui Perubahan”," kata Setiausaha Eksekutif, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek.

Petang tadi, Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat memaklumkan semua ngeri Pakatan Rakyat akan menggunakan tema sama seperti yang dicadang Pakatan Rakyat kecuali Kedah dan Kelantan yang telah membuat keputusan lebih awal.

Bagi Negeri Kelantan, mesyuarat kerajaan negeri telah memilih 'Kelantan Menerajui Perubahan', dan Kedah pula dengan tema 'Terus Berbakti'.

Bagaimanapun, terbaru Kelantan telah memaklumkan bahawa mereka juga akan menggunakan tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa”.

Selain tema, kesemua empat negeri Pakatan ini juga akan menggunakan logo Merdeka yang sama yang akan dimumkan Ketua Pembangkang pada Khamis ini.