Thursday, August 09, 2012

Royalti: Tak perlu JK Khas, ikut formula Terengganu


KOTA BHARU:
NGO Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (Royalti) mencadangkan Kerajaan Negeri Kelantan agar menolak penubuhan jawatankuasa bayaran tunai royalti yang dicadang Kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya Nazri Deraman (gambar kiri) berkata, penubuhan jawatankuasa itu sebenarnya lebih kepada gimik politik BN semata-mata memandangkan bayaran royalti itu boleh dibuat mengikut formula yang digunapakai terhadap Terengganu.

"Ianya (penyelesaian tanpa adanya jawatankuasa bayaran tunai) telah terbukti berjaya (di Terangganu), malah Terengganu dan Kelantan adalah kedua-duanya di Semenanjung Malaysia.

"Pihak kami percaya sekiranya formula yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan digunapakai di Kelantan, pada masa akan datang tidak akan timbul lagi masalah berbangkit memandangkan kedua-duanya merupakan negeri penyumbang kepada Pengeluaran Minyak dan Gas di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Cadangan itu katanya juga antara yang terkandung dalam memorandum yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Selain menuntut kerajaan negeri menolak penubuhan jawatankuasa itu, mereka juga mahu kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat membuat bayaran segera iaitu sebelum 1 Syawal, tanpa perlu kepada penubuhan jawatankuasa itu.

Ianya selaras dengan perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 di mana antara lain menyebut:

PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.

"Bayaran Tunai yang bolehlah dipanggil “Bayaran Pendahuluan” perlulah dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Permbangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan mana-mana agensi yang tidak diiktiraf oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan – Petronas 1975," katanya lagi.

No comments: