KUALA LUMPUR: PAS Kelantan yakin kesediaan Umno
Kelantan untuk menyelesaikan tuntutan royalti minyak sebelum pilihan
raya umum ke-13 disebabkan kebimbangan terhadap kebangkitan anak muda
yang menyokong tuntutan tersebut.
Setiausaha
Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, Umno
Kelantan berasa ketinggalan dalam menjaga kebajikan rakyat negeri itu
dan berusaha mengambil hati mereka semula.
"Umno Kelantan rasa
rugi kalau tak turut serta dalam isu ini. Apatah lagi bila melihat mood
orang muda yang menyokong NGO menuntut royalti minyak ini dikembalikan.
Umno fikir mereka kena beri perhatian isu yang mendapat sokongan
pengundi muda," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau
berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kelantan,
Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa Umno Kelantan akan berusaha
menyelesaikan isu berbangkit termasuk tuntutan royalti minyak.
Badan-badan
bukan Kerajaan (NGO) di Kelantan sebelum ini menubuhkan Gerakan
Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (GEGAR) dan mendapat sambutan yang
hebat daripada golongan muda.
Wan Nik juga berkata, Umno tidak
boleh sewenang-wenangnya mengambil sebarang tindakan berhubung tuntutan
ini kerana ianya sudah dibawa ke mahkamah.
"Saya yakin Mustapa mesti sudah berbincang dengan perdana menteri untuk uruskan hal tuntutan ini.
"Masalah
tuntutan minyak ini sudah jadi kes mahkmah. Kalau betul Umno nak
selesaikan, mereka kena selesai cara mahkmahlah. Hal ini tak mudah
walaupun Mustapa cakap macam mudah sahaja," katanya.
Tambah
beliau lagi, Mustapa dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain terlebih
dahulu perlu menarik balik kenyataan mereka sebelum ini yang menafikan
hak rakyat ke atas royalti minyak.
"Sebelum ini Mustapa, Dr.
Awang Adek dan pemimpin Umno Kelantan yang lain kata Kelantan tak layak
dapat royalti. Jadi kalau nak selesaikan isu ini, mereka kena tarik
balik semua kenyataan sebelum ini," katanya.
Ogos 2010, PAS
Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap
Petronas berhubung royalti minyak yang didakwa bukan terletak di
perairan negeri.
No comments:
Post a Comment