Sunday, August 05, 2012

PAS tambah 3 polisi baru Negara Berkebajikan


GOMBAK:
PAS menambahbaik konsep Negara Berkebajikan dengan menawarkan tiga polisi baru iaitu memastikan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri, implimentasi sistem percukaian dan hiburan dikalangan anak muda.

Ketiga-tiga polisi baru ini mendapat persetujuan di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat dan akan dijadikan manifesto bersama dalam pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu, dimaklumkan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika merasmikan Seminar Professor Zulkilfli Muhammad "Membangun Negara Berkebajikan" di KUIZM, Taman Melewar hari ini.

Menurut Salahuddin, konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah berteraskan keadilan, kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara

Katanya, Islam memperluaskan ruang keadilan bukan sahaja kepada penganutnya bahkan kepada bukan Islam.

"Atas dasar inilah, PAS memperluaskan konsep ini kepada bukan Islam agar mereka fahami apa itu Islam sebenarnya.

"Melalui DHPP kita lihat antara kejayaannya apabila ruang orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat mula tertutup bahkan PAS sendiri sudah diyakini oleh orang bukan Islam," katanya ketika ditemui.

Malah, beliau yakin dan percaya melalui konsep keadilan ini Pakatan Rakyat boleh mengambil alih Putrajaya nanti.

Tiga tawaran baru itu sedang diperhalusi dalam tiga wacana yang berlangsung sepanjang hari ini.

Seminar yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan PAS mengetengahkan beberapa ahli panel antaranya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengerusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Negeri Selangor Iskandar Abdul Samad, Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan koperasi Prof Datuk Nik Zain Nik Yusoff, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Khairuddin Aman Razali, Pakar ekonomi Dr Rosli Yaakob.

Tiga ahli panel lagi akan membincangkan soal hiburan di kalangan anak muda iaitu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo Negeri Kelantan, Ahli Parlimen Jerai Firdaus Jaafar dan seorang artis Cik Farah Asyikin.

No comments: