Wednesday, August 08, 2012

Pulau Pinang beri RM100,000 kepada Chong Wei


GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi anugerah insentif RM100,000 kepada Datuk Lee Chong Wei atas kejayaan menjadi rakyat Malaysia pertama untuk memenangi 2 pingat perak Olimpik dan usaha gigihnya dalam Sukan Olimpik London 2012.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini berkata, insentif itu juga sebagai galakan kepada Lee untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016.

“Anugerah insentif ini akan diberi melalui program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, walaupun terkecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, Lee telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia.

Akhirnya, kata beliau Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei telah menitis air mata.

Bagi pemenang, kerana berjaya mengalahkan seorang lawan yang sangat layak iaitu Lee yang hanya kalah dengan 2 mata untuk meraih pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

Walaupun gagal memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, Lee telah menjadi juara Olimpik dalam hati setiap rakyat Malaysia.

“Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton daripada Bukit Mertajam ini.

“Walaupun semua rakyat Malaysia turut berkongsi kekecewaannya, semangat perjuangan dan keupayaan bertaraf dunia beliau memberi inspirasi kepada kita dan telah menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa,” kata Guan Eng lagi.

Katanya, Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada  Lee untuk mencapai pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016, yang akan juga membantu mempersiapkan pengganti yang layak.

No comments: