Sunday, August 05, 2012

Lebuhraya Rakyat: Lebih RM4 juta sudah terkumpul


SHAH ALAM: Lebih RM4 juta sudah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai bagi membina Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK).



(Tuan Guru Nik Aziz melancarkan kempen tabung amanah pembinaan lebuhraya di Komplek Karangkaraf semalam)

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, sumbangan masih diperlukan kerana kos keseluruhan adalah RM1.8 bilion dan ia masih berkurangan.

"Orang ramai masih boleh terus memberikan sumbangan terus kepada tabung  Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tabung amanah pembinaan KBKK di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, dekat sini malam itu.

Pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dengan disaksikan kira-kira 1,000 anak Kelantan yang hadir.

Berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) itu, Husam berkata, penubuhan dana itu akan membuktikan kepada kerajaan pusat bahawa rakyat Kelantan mampu berusaha mendapatkan prasarana terbaik walaupun tanpa bantuan kerajaan pusat.

"Bila kita buka wakaf lebuh raya mereka (kerajaan pusat) ejek dengan perbuatan dan perkataan.

"Tapi tunggu mereka bagi peruntukan mereka tak bagi. Pembinaan ini bukan bererti membina sekaligus di luar kemampuan kita," katanya.

Husam menjelaskan kerajaan negeri telah mendahulukan wang untuk pembinaan lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 73 kilometer itu

Hasil sumbangan orang ramai  katanya akan turut digunakan untuk membina lebuh raya jajaran bertingkat dari Kota Bharu ke Wakaf Che Yeh yang menelan belanja RM500 juta.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Majlis dimulakan dengan taklimat wakaf dan majlis berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.

No comments: