(Perwakilan muktamar PAS ke 58)
KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS ke-58 yang
berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) kali ini,
meluluskan 14 usul dengan enam usul dilulus dengan bahas manakala lapan
lagi usul dilulus tanpa bahas.
Enam usul yang dibahas itu adalah, satu usul dari Dewan Ulamak, dua dari pemuda, satu muslimat dan dua PAS Pusat.
Dewan
Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS
menubuhkan satu unit audit syariat bagi tujuan mengaudit perjalanan
badan eksekutif yang terdiri daripada wakil ahli jawatankuasa PAS Pusat,
Badan Perhubungan PAS Negeri dan kerajaan negeri yang ditadbir PAS.
Pengauditan
ini menurut mereka perlu merangkumi semua aspek pentadbiran supaya
semuanya memenuhi pematuhan syariat dan tidak melakukan perkara yang
bertentangan dengan syariat bagi memastikan kualiti kepimpinan kerajaan
negeri ditadbir PAS.
Usul itu telah dibentang dan dibahas semalam dan telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan muktamar.
Dewan
Pemuda PAS pula membawa usul mendesak kerajaan supaya Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan serta merta bagi mengelakkan
pengainayaan kepada rakyat.
Usul itu juga mendesak agar kerajaan
mewujudkan satu tatacara kelola trafik yang baru berdasarkan kajian dan
juga piawaian negara maju yang lebih bersifat mendidik pengguna jalan
raya.
Satu lagi usul yang dibawa dewan itu adalah usul mendesak
kerajaan Malaysia menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan
Rohingya.
Usul tersebut juga menggesa kerajaan melalui OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan segera terhadap isu ini.
Kerajaan
juga digesa menyatakan sikap yang tegas serta menggunakan seluruh
mekanisma operasi untuk membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di
kedua-dua negara ini.
Kedua-dua usul pemuda tersebut juga telah dibentang dan dibahas semalam dan juga telah diterima sebulat suara para perwakilan.
Usul
dari Dewan Muslimat PAS Pusat pula bagi mendesak Kementerian Pelajaran
Malaysia menangguhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Ini
kerana perlaksanaan itu masih kabur sehingga menimbulkan tekanan kepada
guru yang hampir 80 peratus dari mereka sebenarnya tidak faham.
Mereka
juga menuntut agar hak yang adil dan sama rata kepada seramai 800,000
pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam PBS ini serta memastikan akses
internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah diatasi
dengan sebaiknya sebelum perlaksanaan dilakukan.
Usul tersebut yang dibentang pagi ini juga diterima sebulat suara oleh perwakilan.
PAS
Pusat pula membawa usul agar memperhebatkan siri penerangan
pengkhianatan Umno kepada orang Melayu melalui semua medium yang ada.
Pada
masa yang sama, PAS juga perlu meyakinkan pengundi Melayu bahawa PAS
mampu menjaga Melayu lebih baik daripada Umno serta menerangkan segala
pembohongan Umno.
PAS juga perlu menonjolkan kemampuan memerintah
dengan memberi contoh Kelantan yang telah diperintah 22 tahun dan Kedah
yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik walaupun terpaksa
menanggung beban hutang RM1.8 bilion peninggalan BN.
Satu lagi
usul PAS Pusat adalah agar PAS mengukuhkan sokongan ke atas Jawatankuasa
Bersih yang telah mengemukakan lapan tuntutan untuk membersihkan
pilihan raya.
Usul terssebut juga mahu PAS mendesak Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno BN untuk memenuhi kesemua tuntutan
Jawatankuasa Bersih.
Pada masa sama, jentera PAS juga perlu terus
membongkar penyelewengan Umno melalui daftar pemilih dan terus memberi
tekanan kepada SPR untuk membersihkan kesemua daftar undi sebelum
PRU-13.
Usul yang juga dibentang pagi ini itu juga diterima sebulat suara oleh para perwakilan.
Sementara
itu, lapan usul yang diterima tanpa bahas adalah usul memperkasa
Harakah, usul mengutuk Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang berterusan
menghina Islam, serta usul agar Pakatan Rakyat mengutamakan
seluas-luasnya aspek pendidikan di dalam pentadbiran di negeri-negeri
yang dikuasai.
Selain itu, usul-usul agar usaha dakwah terhadap
bukan Islam dimaksimakan, usul pembantu rumah tempatan dimartabatkan,
usul calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diberi peluang bertanding
dalam PRU-13 juga dilulus tanpa bahas.
Dua lagi usul juga
dilulus tanpa bahas adalah usul menghapuskan Pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta usul agar diadakan satu
himpunan besar-besaran pembabitkan parti-parti dalam Pakatan serta NGO
bagi mendesak kerajaan memastikan pilihan raya adil dan saksama.