Sunday, May 22, 2011

Mahfuz sah pertahan jawatan Naib Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Datuk Mahfuz Omar (gambar) hari ini mengesahkan beliau menerima pencalonan untuk jawatan naib presiden iaitu jawatan yang sedang disandangnya kini.
Pengesahan ini menyaksikan beliau mungkin berdepan dengan 13 lagi calon lain sekiranya kesemuanya menerima pencalonan untuk jawatan itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, bulan depan.
Mereka ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Idris Ahmad, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Mazlan Aliman, Datuk Mohd Amar Abdullah, Dr. Mohd Hatta Ramli, Mujahid Haji Yusof Rawa, Nik Zawawi Nik Salleh dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
"Saya menerima pencalonan sebagai naib presiden untuk meneruskan khidmat saya membantu presiden untuk melakukakan lonjakan ke arah PRU ke 13," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan menganggap keputusan itu sebagai mempertahankan jawatan kerana menurutnya jawatan bukan milik individu, tapi milik parti.
Sebaliknya tegas Mahfuz, beliau akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja parti,terutama untuk menumbangkan Umno BN.
"Saya tak suka guna istilah mempertahankan jawatan kerana jawatan bukan milik individu tapi milik parti.
"Kalau saya menumpukan soal pemilihan, saya akan hilang fokus sebenar. Jadi saya serahkan kepada kawasan untuk membuat penilaian," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz turut menekankan '5K' yang menjadi prinsipnya dalam memastikan PAS terus diterima masyarakat dan mampu bersama-sama Pakatan Rakyat memerangi politik perkauman yang kembali dimainkan Umno BN untuk mewujudkan rasa tidak senang antara kaum.
'5 K' tersebut ialah kejujuran, ketelusan, kebijaksanaan, kesaksamaan, dan keprihatinan/kebajikan.
"5K ini yang saya nak bawa. Jadi menjadi tanggungjawab besar bagi saya, untuk menerima pencalonan untuk bawa PAS ke dalam 'green politic' di Malaysia," katanya.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan presiden parti tanpa bertanding.
Ini katanya menunjukkan ahli memberikan sepenuh kepercayaan kepada Abdul Hadi untuk terus meneraju PAS bersama Pakatan Rakyat.
"Kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai presiden parti akan melicinkan lagi perjalanan PAS bersama Pakatan Rakyat.
"Ahli ternyata memberi penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau," katanya.
Sebanyak 152 kawasan menghantar pencalonan untuk jawtan tertinggi parti namun hanya 146 diterima selepas enam borang yang dihantar tidak lengkap.

No comments: