Sunday, June 05, 2011

Pemuda minta 40 peratus kerusi untuk calon muda

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Pemuda PAS Malaysia meminta PAS Pusat memberikan 40 peratus kerusi kepada calon-calon muda bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Permintaan tersebut diharap diberikan pertimbangan serius oleh PAS Pusat bagi kepentingan parti dan selaras dengan keperluan semasa serta tidak hanya tertakluk kepada lelaki, tetapi juga muslimat.

Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hassan Tantawi menegaskan, keperluan PAS Pusat memberikan petimbangan serius terhadap permintaan itu berdasarkan kehendak masyarakat kini yang lebih mengutamakan kepada calon-calon muda.

Menurut beliau, pada pilihanraya di Singapura baru-baru ini, golongan muda mendapat sambutan hebat sehingga berjaya memenangi beberapa kerusi yang ditandingi.

Katanya, begitu juga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru yang jelas menunjukkan pencapaian baik yang diperolehi PAS bagi kerusi yang ditandingi yang diwakili golongan muda.

"Selain itu, walaupun kalah, PAS turut mencapai kejayaan baik dalam pilihanraya kecil di Tenang baru-baru ini yang diwakili Cikgu Mala yang juga mewakili golongan muda.

"Kehadiran Cikgu Mala yang mewakili golongan muda dari muslimat telah membuatkan PAS berjaya mengurangkan undi yang diperolehi BN dengan begitu banyak," katanya pada sidang media di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, menurut beliau, walaupun kalah, PAS turut mencapai kejayaan besar sehingga berjaya mengurangkan undi yang diperolehi BN dengan begitu ketara pada beberapa kerusi yang ditandingi PAS yang diwakili golongan muda.

"Contohnya di Beting Mero yang diwakili calon muda, walaupun kalah tetapi PAS berjaya menarik sokongan pegundi cukup besar sehingga hampir berjaya," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, permintaan tersebut tidak bermakna beliau menafikan kehebatan calon-calon yang telah berusia dari PAS.

"Kami cukup sedar dengan kehebatan golongan yang telah berusia sebab itulah kami hanya meminta 40 peratus sahaja kerusi untuk calon-calon muda yang berkelayakan.

"Tapi dalam masa yang sama, kami berharap agar golongan muda turut diberikan tempat oleh PAS kerana selain golongan yang telah berusia, masyarakat kini ternyata lebih berminat kepada calon-calon muda," ujar beliau.

No comments: