Wednesday, June 01, 2011

Pemuda PAS bantah Konsert MTV Word Stage

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah penganjuran satu program hiburan bertaraf antarabangsa, Konsert MTV Word Stage di i-City, Seksyen 7 Shah Alam, 24 Julai depan yang dikatakan bertujuan mempromosi bandaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa.
DPPNS mahu Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menarik balik kelulusan program tersebut kerana bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor.
Ketuanya, Hasbullah Ridzwan (gambar) berkata, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ataupun pengurusan i-City dapat mematuhi garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri serta mencari kaedah yang lebih sesuai untuk mempromosi Bandaraya Shah Alam selain daripada menganjurkan konsert secara terbuka.
"Dewan Pemuda PAS Negri Selangor melahirkan rasa kecewa dan terkilan di atas kenyataan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam satu sidang media pada 18 Mei lalu yang mengatakan konsert ini untuk memperkenalkan Bnadaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, DPPNS amat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir yang disiarkan dalam satu protal berita tentang kemungkinan wujudnya pengaruh negatif berbanding positif hasil daripada penganjuran konsert tersebut.
"Janganlah kita menggadaikan maruah anak bangsa dan negara hanya semata-mata untuk mendapatkan sedikit pengiktirafan dunia antarabangsa.
"Penganjuran konsert yang membabitkan artis-artis barat dan artis tempatan yang pro barat sudah pastilah berlawanan dengan hasrat Kerajaan Negeri di dalam melahirkan modal insan yang terbaik untuk negeri Selangor," katanya.
Tambahnya, DPPNS yakin bahawa penganjuran konsert ini pasti akan menimbulkan rasa resah, gelisah dan amarah khususnya kepada penduduk setempat.
"Kami dimaklumkan telah ada persatuan penduduk di persekitaran tersebut yang telah menyatakan bantahan mereka terhadap konsert tersebut," katanya.
Antara artis yang mengesahkan penyertaan pada konsert itu ialah '30 Second To Mars' iaitu pemenang Band Rock Terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan band tempatan Pop Shuvit.
Sehubungan itu, DPPNS akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung penganjuran konsert ini kepada Datuk Bandar Shah Alam dan Menteri Besar dalam masa terdekat ini.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap semoga Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengambil tanggungjawab terhadap usaha-usaha mencalar imej dan agenda Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

No comments: